AGENDA

Israel halang lebih 3,000 trak bantuan perubatan masuk Gaza

1 Jun 2025, 11:38 PM
Israel halang lebih 3,000 trak bantuan perubatan masuk Gaza

BANDARAYA GAZA/ANKARA, 1 JUN: Israel terus menghalang kemasukan lebih 3,000 trak bantuan kesihatan ke Gaza, sekali gus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sedia kritikal, menurut seorang pegawai kanan kesihatan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh berkata hospital di wilayah itu kini berdepan keadaan “malapetaka” akibat kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang teruk.

Beliau berkata pihak berkuasa Israel menyekat kira-kira 3,000 trak yang membawa peralatan kesihatan penting daripada memasuki Gaza dari bandar Arish di Mesir.

“Larangan berterusan rejim pendudukan terhadap kemasukan ubat-ubatan dan vaksin telah menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dan wabak,” kata Bursh dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan berlaku peningkatan mendadak kes cirit-birit akut, meningitis dan krisis kesihatan lain di Gaza, yang diburukkan lagi oleh keruntuhan sistem bekalan air dengan 90 peratus penduduk kini tidak mempunyai akses kepada air bersih.

Bursh turut mengkritik mekanisme pengagihan bantuan Israel yang baru diperkenalkan dan menyifatkannya sebagai alat “pembunuhan beramai-ramai dan pemindahan paksa”.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 300 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas orang awam yang sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan sejak 27 Mei lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyatakan sekatan Israel ke atas Gaza telah mewujudkan kebuluran buatan manusia. Dengan lintasan sempadan ditutup kepada bantuan kemanusiaan selama lebih 90 hari, seramai 2.4 juta penduduk Gaza kini terjerumus dalam kebuluran.

Israel terus melancarkan serangan dahsyat ke atas Gaza sejak Oktober 2023, walaupun menerima gesaan antarabangsa supaya melaksanakan gencatan senjata yang mengorbankan lebih 54,400 rakyat Palestin — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Agensi bantuan turut memberi amaran mengenai risiko kebuluran dalam kalangan penduduk wilayah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619