AGENDA

Jenazah penyelam maut di perairan Aceh dibawa pulang ke Malaysia

1 Jun 2025, 10:43 PM
Jenazah penyelam maut di perairan Aceh dibawa pulang ke Malaysia

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 1 JUN: Jenazah seorang lelaki warga Malaysia yang meninggal dunia semasa melakukan aktiviti selaman di perairan wilayah Aceh, Indonesia telah dibawa pulang ke tanah air, menurut pegawai pada Ahad.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Shahril Nizam Abdul Malek mengesahkan bahawa jenazah Haikal Rafie Halim, 33, dari Selangor telah diterbangkan ke Kuala Lumpur pada petang Ahad.

“Penerbangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda di Aceh pada 4.55 petang waktu tempatan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama.

Haikal merupakan seorang daripada tiga penyelam Malaysia yang menyertai aktiviti selaman bersama seorang jurupandu tempatan apabila mereka berdepan arus bawah yang kuat berhampiran lokasi selaman Canyon di perairan Pulau Weh, dekat Sabang pada Sabtu.

“Haikal dipercayai panik dan diarahkan untuk naik ke permukaan. Apabila tiba di permukaan, beliau didapati tidak sedarkan diri dan dilaporkan berbuih di mulut,” kata Ketua Polis Sabang, Sukoco dalam satu kenyataan.

Mangsa kemudian dibawa menaiki bot laju ke Pantai Iboih dan dikejarkan ke pusat kesihatan, namun disahkan meninggal dunia pada 10.50 pagi sebelum dibawa ke Hospital Sabang untuk dibedah siasat, tambahnya.

Kejadian itu berlaku berhampiran Monumen Kilometer Sifar, iaitu lokasi selaman popular yang sering dikunjungi pelancong tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619