AGENDA

Dua maut dalam kemalangan berasingan libat jentera berat di Kuala Krai

31 Mei 2025, 10:07 PM
Dua maut dalam kemalangan berasingan libat jentera berat di Kuala Krai

KUALA KRAI, 31 MEI: Dua lelaki maut dalam kemalangan berasingan membabitkan jentera berat di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata kejadian pertama kira-kira 2.50 petang melibatkan warga Thailand berusia 49 tahun yang maut selepas jentera backhoe dipandunya terjatuh ke cerun di Ladang Dabong berhampiran Kilometer 27 Jalan Sungai Sam-Dabong.

"Ini menyebabkan mangsa tercampak keluar sebelum dihempap jentera berkenaan dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal jentera berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata dalam kejadian kedua pada 3.30 petang, seorang lelaki berusia 59 tahun maut selepas sebuah jentolak dipandunya gagal dikawal sehingga terjatuh ke dalam gaung di kawasan Ladang Bonanza Laloh.

"Jentolak yang dipandu mangsa telah tergelincir semasa melakukan kerja membuat teres dan terjatuh ke gaung sedalam kira-kira 100 meter," katanya.

Mazlan berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619