AGENDA

WHO seru tindakan segera haramkan produk tembakau, nikotin berperisa

31 Mei 2025, 2:25 PM
WHO seru tindakan segera haramkan produk tembakau, nikotin berperisa

NEW YORK, 31 MEI: Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat melancarkan penerbitan baharu serta menggesa kerajaan seluruh dunia supaya segera mengharamkan semua perisa dalam produk tembakau dan nikotin termasuk rokok, shisha dan rokok elektronik bagi melindungi golongan muda daripada ketagihan dan penyakit.

Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), perisa seperti pudina (menthol), gula-gula getah dan gula-gula kapas menutupi rasa kuat tembakau dan nikotin, sekali gus menjadikan produk berbahaya ini kelihatan mesra remaja.

Perisa bukan sahaja menyukarkan usaha berhenti merokok, malah dikaitkan dengan penyakit paru-paru serius.

“Perisa mencetuskan gelombang baharu ketagihan dan ia wajar diharamkan.

“Ia menjejaskan kemajuan selama beberapa dekad dalam kawalan tembakau.

"Tanpa tindakan berani, wabak tembakau global yang telah meragut kira-kira lapan juta nyawa setiap tahun akan terus didorong oleh ketagihan yang diselindungi oleh perisa menarik," kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Penerbitan terbaharu WHO mendedahkan bagaimana perisa dan aksesori seperti penapis kapsul serta titisan ‘klik’ dipasarkan untuk mengelak peraturan dan menarik pengguna baharu.

Ketika ini, lebih 50 negara telah mengharamkan tembakau berperisa; lebih 40 negara mengharamkan penjualan rokok elektronik; lima negara secara khusus mengharamkan vape pakai buang; dan tujuh negara mengharamkan perisa dalam rokok elektronik.

Namun, aksesori berperisa masih belum dikawal secara meluas.

Perisa dikenal pasti sebagai antara punca utama golongan muda mula mencuba produk tembakau dan nikotin.

WHO turut menegaskan bahawa produk tembakau mendedahkan pengguna kepada bahan kimia penyebab barah dan perlu dikawal selia dengan ketat.

- BERNAMA-WAM

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619