EXCO

Selangor lancar video promosi versi Mandarin, sasar lonjakan 25 peratus pelancong China

31 Mei 2025, 1:00 PM
Selangor lancar video promosi versi Mandarin, sasar lonjakan 25 peratus pelancong China
Selangor lancar video promosi versi Mandarin, sasar lonjakan 25 peratus pelancong China

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan 25 peratus ketibaan pelancong dari China tahun ini menerusi pelancaran video promosi Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) versi Mandarin.

Usaha strategik itu diumumkan sempena pameran perdagangan pelancongan ITB China 2025 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Dunia Shanghai pada 27 Mei lalu.

Pelancaran video berkenaan disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sri Tiong King Sing bersama EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim.

Menurut Suee Lim, pelancaran itu mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama negara, sekali gus memperluas kehadiran negeri ini dalam pasaran pelancong China.

“Selangor menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong dan hasil pelancongan RM11.7 bilion tahun ini. Dengan penyertaan strategik dalam ITB China dan kempen promosi tersasar, kami yakin sasaran ini mampu dicapai.

“Tambahan pula, terdapat 81 penerbangan mingguan antara Shanghai dan Kuala Lumpur yang menyokong sasaran pertumbuhan ini,” katanya dalam kenyataan.

[caption id="attachment_703605" align="aligncenter" width="809"] EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim bergambar bersama delegasi dari Selangor di Pameran Perdagangan Pelancongan ITB China 2025 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Dunia Shanghai pada 27 Mei 2025. Foto Tourism Selangor[/caption]

Tahun lalu, Selangor menerima 584,566 pelancong dari China dengan Subang Jaya di daerah Petaling mencatat destinasi paling kerap dikunjungi pelancong negara tersebut.

Suee Lim berkata Kerajaan Negeri juga giat memperluas kerjasama dengan penggiat industri pelancongan China melalui lebih 40 sesi pertemuan perniagaan (B2B) serta dua sesi pertemuan kerajaan-ke-kerajaan (G2G) dengan Konsulat Malaysia dan Tourism Malaysia Shanghai.

Turut serta dalam misi promosi kali ini ialah tujuh pengusaha pelancongan utama termasuk Sunway Lagoon, Skyluge, D’King, Farm In The City, Wet World Shah Alam, Eastin Hotel dan One World Hotel.

Tourism Selangor turut merancang lawatan pengenalan (FAM Trip) kepada agensi dan persatuan pelancongan China bagi merintis kerjasama baharu serta mempromosi pengalaman pelancongan yang ditawarkan negeri ini.

TMS2025 membawa tema global “Surprising Selangor”, selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menumpukan pelancongan berasaskan alam semula jadi, makanan, agro dan pelaburan pelancongan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619