AGENSI

724 kes kenderaan barangan bawa muatan lebih dalam Op Paras

29 Mei 2025, 5:41 PM
724 kes kenderaan barangan bawa muatan lebih dalam Op Paras

KUALA LANGAT, 29 MEI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 143 notis dan arahan menimbang kenderaan terhadap kenderaan barangan menerusi Op Paras yang dijalankan bermula 1 Mei lalu.

Pengarahnya Azrin Borhan berkata antara kesalahan paling tinggi direkodkan ialah membawa muatan melebihi had dibenarkan dengan 724 kes, membawa muatan secara berbahaya (645 kes) dan 23 kenderaan disita kerana membawa muatan melebihi 70 peratus daripada berat dibenarkan.

Beliau berkata mahu mengejar komisen atau keuntungan antara alasan diberikan pemandu untuk sanggup membawa muatan melebihi had dibenarkan.

"Op Paras menumpukan kepada penguatkuasaan terhadap kenderaan barangan yang melakukan kesalahan membawa muatan melebihi had dan mengangkut barangan secara berbahaya.

"Menerusi operasi ini, kita (JPJ) dapati kenderaan yang sering dikesan membawa lebih muatan ialah lori yang mengangkut batu, pasir, tanah serta sisa kelapa sawit," katanya pada sidang media Ops Paras di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini hari ini.

Azrin berkata Op Paras turut bertujuan membendung peningkatan kes kemalangan berpunca daripada kenderaan berat yang tidak mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan kesalahan membawa muatan berlebihan.

Berhubung dakwaan pihak 'tonto' memantau pergerakan dan operasi JPJ dalam menangani isu kenderaan perdagangan khususnya membawa muatan berlebihan, beliau berkata pihaknya tidak menolak kewujudan elemen terbabit, namun setakat ini tiada ancaman kritikal diterima sama ada secara lisan atau bertulis.

Azrin berkata JPJ akan terus melaksanakan operasi berkala menggunakan pelbagai kaedah bagi mengelak dikesan tonto termasuk dengan berpakaian preman dan menggunakan kenderaan tidak berlogo untuk melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan perdagangan.

"Kesalahan membawa muatan secara berbahaya bukan sahaja mendatangkan risiko kepada pemandu, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain serta boleh mengancam alam sekitar sekiranya berlaku tumpahan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619