Sebelas karya terjemahan terbaharu terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) termasuk novel asal Mexico dijangka mencuri tumpuan pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Novel klasik berbahasa Sepanyol berjudul Pedro Páramo banyak mempengaruhi penulis tersohor termasuk Gabriel Garcia Marquez dan Jorge Luis Borges.
Tulisan Juan Ralfo berbentuk realisme magis antara empat naskhah terbitan IBDE dengan kerjasama Media Selangor yang membuka peluang kepada pembaca menikmati karya agung dunia.
“Karya agung sastera Amerika Latin ini adunan puitis antara realisme magis dan psikologi kolektif yang menghantui,” kata Pengurus Jualan dan Pemasaran IBDE Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman pada 22 Mei.
Julung kali diterjemah ke bahasa Melayu, Pedro Páramo membawa pembaca meneroka kehidupan sarat kenangan, penyesalan dan kritikan yang berdamping dengan bayang-bayang masa silam.
Tiga buku lain, Suri Hati Nabi (judul asal bahasa Arab Nisa’un-Nabi) nukilan Aisyah Abdul Rahman, Dunia Kini Milik China? (Has China Won?) tulisan Kishore Mahbubani dan Seni Percintaan (The Art of Loving) oleh Erich Fromm.
[caption id="attachment_685341" align="alignnone" width="877"] Karya terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang dijual di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) 2025 pada 29 Januari hingga 2 Februari 2025. Foto Facebook Buku IBDE[/caption]
IBDE turut menawarkan tujuh karya agung dunia, tanpa kerjasama Media Selangor, dalam sembilan hari pesta di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mulai 23 Mei.
Dua daripadanya akan dikupas dalam Festival Turath Islami Selangor tahun ini. Karya itu ialah Pengantar Ilmu Tafsir, terjemahan kitab Usul Tafsir oleh ulama terkenal Imam Jalaluddin as-Suyuti. Ia subtopik kitab berjudul Itmam ad-Dirayah li Qurra’ an-Nuqyah.
Naskhah kedua, kitab Dalail al-Khairat yang menghimpunkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ia dihasilkan tokoh sufi Maghribi abad ke-15 iaitu Imam Abu Abdullah Muhammad Sulaiman Al-Jazuli yang dianggap himpunan selawat penting dunia Islam.
Menyasar 50,000 pengunjung, IBDE menjangka tujuh naskhah bakal 'laku keras' termasuk buku Suri Hati Nabi dan Dunia Kini Milik China?. Sebanyak 10 tawaran kombo buku istimewa berharga antara RM50 dan RM120 juga menanti pengunjung.
Peminat buku IBDE juga berpeluang menikmati potongan 15 peratus untuk semua buku. Lebih menarik, promosi potongan tambahan lima peratus diberi bagi pembelian awal bermula jam 10 pagi hingga 11 pagi. Selain itu, penjimatan sehingga 47 peratus bagi 10 set kombo eksklusif turut sedia.
Pengunjung boleh ke reruai: 8-30, Seksyen 8, Dewan Tun Razak 4, WTCKL mulai jam 10 pagi untuk memiliki karya terbitan IBDE. Penganjuran PBAKL antara usaha murni kerajaan bagi membina masyarakat berilmu.
Buku baharu IBDE (kerjasama Media Selangor)
- Suri Hati Nabi – Aisyah Abdul Rahman
- Dunia Kini Milik China? – Kishore Mahbubani (edisi terjemahan Has China Won?)
- Pedro Páramo – Juan Rulfo
- Seni Percintaan – Erich Fromm (edisi terjemahan The Art of Loving
Naskhah lain
- Tujuan Hidup Manusia – Murtada Mutahhari
- Ihya Ulumuddin Jilid 6 – Imam Al-Ghazali
- Himpunan Doa – Imam Al-Ghazali
- Pengantar Ilmu Tafsir – Imam as-Suyuti
- Dalail al-Khairat – Imam Abu Abdullah Muhammad Sulaiman Al-Jazuli,
- Kisah Hidup Imam Al-Ghazali – edisi bergambar untuk kanak-kanak - Muhammad Hozien & Gray Henry
- 12 buku cerita kanak-kanak berdasar Ramuan Kebahagiaan – Imam Al-Ghazali
Naskhah dijangka ‘laku keras’
- Suri Hati Nabi – Aisyah Abdul Rahman
- Dunia Kini Milik China?– Kishore Mahbubani
- Muslihat Mahathir – Barry Wain
- Ihya Ulumuddin – Imam Al-Ghazali
- Ramuan Kebahagiaan – Imam Al-Ghazali
- Tanpa Ampun – F Spencer Chapman
- Muhammad: Riwayat Hidup Daripada Sumber Terawal – Martin Lings