ad
AGENDA

Polis sahkan penculik minta 80 kilogram emas bernilai RM40 juta daripada mangsa

27 Mei 2025, 12:09 AM
Polis sahkan penculik minta 80 kilogram emas bernilai RM40 juta daripada mangsa

KOTA BHARU, 27 MEI: Polis Kelantan mengesahkan jumlah sebenar emas yang diminta empat suspek dalam kes penculikan dan pemerasan membabitkan pemilik kedai emas di Palekbang, Tumpat dekat sini ialah 80 kilogram dengan anggaran nilai RM40 juta.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perkara itu dimaklumkan oleh mangsa yang berusia 44 tahun dalam keterangannya kepada pihak polis.

"Hasil siasatan juga mendapati suspek sudah lama memeras ugut mangsa yang berasal dari Tumpat.

"Mangsa mendakwa suspek telah lama menuntut wang perlindungan daripadanya namun dia tidak berani membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Mohd Yusoff berkata mangsa juga mendakwa sudah menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai jutaan ringgit kepada suspek sejak sekian lama.

"Siasatan yang dijalankan mendapati kes ini lebih kepada perbuatan memeras ugut dan penculikan ke atas mangsa adalah disebabkan dia enggan memberikan wang atau emas seperti diminta suspek," katanya.

20 Mei lalu tular klip video yang memaparkan kenderaan mangsa dihalang sebelum dia dipaksa menaiki kereta Suzuki Swift warna kelabu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.