KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan menyiasat insiden seorang guru didakwa memalukan seorang murid sekolah rendah di hadapan rakan-rakannya.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata perkara itu amat dikesali lebih-lebih lagi rakaman tersebut telah tersebar dan memberi dampak besar kepada masyarakat.
“Guru sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa mengenai integriti dan etika sebagai penjawat awam walau apa juga isu yang terjadi.
“Saya juga yakin dan percaya ada ruang lebih selamat dan bersifat privasi untuk memastikan apa saja perbincangan dan isu dapat diselesaikan secara baik," katanya.
Ditemui selepas melancarkan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah, Fadhlina memberitahu pihaknya sudah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan untuk memperhalusi perkara ini dengan lebih serius.
"KPM juga sebenarnya sudah berkali-kali mengingatkan kepada guru yang juga penjawat awam mengenai garis panduan sedia ada dan mematuhi etika serta integriti baik di dalam kelas, luar kelas dan media sosial sekalipun,” ujarnya lagi.
Semalam, tular video di laman media sosial menunjukkan seorang murid sekolah rendah yang dimarahi beberapa guru di kantin sekolah yang dipaksa untuk mengaku perkara yang tidak dilakukannya.
Video itu dirakam dan kemudian diberikan kepada ibu murid tersebut.