AGENDA

Salur bantuan tanpa halangan cara elak krisis Gaza memburuk

25 Mei 2025, 11:22 AM
Salur bantuan tanpa halangan cara elak krisis Gaza memburuk

NEW YORK, 25 MEI: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran bahawa malapetaka kemanusiaan di Gaza akan bertambah buruk melainkan bantuan secara berterusan dapat disalurkan tanpa halangan.

Menerusi hantaran di platform X pada Ahad, UNRWA berkata sekatan Israel - yang kini memasuki bulan ketiga - telah melumpuhkan usaha bantuan dan mendorong wilayah itu ke dalam krisis yang semakin meruncing itu, lapor agensi berita Qatar (QNA).

UNRWA memaklumkan bahawa Gaza memerlukan antara 500 hingga 600 trak bantuan setiap hari yang diselaraskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kemasukan bantuan tanpa halangan ke Gaza adalah satu-satunya cara untuk mengelakkan bencana ini daripada terus meruncing,” tegas agensi itu.

Lintasan sempadan masih ditutup sejak 2 Mac, menyebabkan bekalan penting terkandas di sempadan.

UNRWA berkata rakyat Palestin tidak lagi mampu menunggu ketika kekurangan makanan dan ubat-ubatan semakin meruncing setiap hari.

Sepanjang 80 hari lalu, 58 orang telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan, manakala 242 lagi - kebanyakannya kanak-kanak dan warga emas - meninggal dunia akibat kekurangan makanan dan ubat-ubatan.

Sekatan itu telah mendorong 2.4 juta penduduk Gaza ke ambang kebuluran.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera Israel telah melancarkan operasi darat di utara dan selatan Gaza, memburukkan lagi keadaan.

-BERNAMA-QNA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619