AGENDA

Anwar: Politik stabil tarik pelaburan, rakyat akan terima banyak manfaat

24 Mei 2025, 12:00 AM
Anwar: Politik stabil tarik pelaburan, rakyat akan terima banyak manfaat

OLEH NORRASYIDAH ARSHAD dan DEWI ABDUL RAHMAN

JOHOR BAHRU, 24 MEI: Agenda sektor perkhidmatan awam perlu ada pembaharuan bagi membolehkan politik negara stabil seterusnya mampu menarik keyakinan pelabur.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata aspek itu penting dan tidak boleh dipandang remeh demi menjamin pendapatan negara selain menyedia peluang pekerjaan untuk golongan anak muda.

“Terima kasih jentera kerajaan terutama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana gigih berusaha. Tiap kali lawatan, saya pergi ke China, Amerika, India dan baru-baru ini Rusia.

“Banyak persiapan dibuat pegawai MITI, cukup baik dan memudahkan kita sampaikan kedudukan (keadaan negara), insentif dan kekalkan Malaysia sebagai pusat pelaburan.

“Di samping usaha negeri yang mengusahakan kemasukan pelabur. Dua menteri besar bawah KEADILAN, Dato’ Seri Amirudin Shari, Selangor dan Datuk Seri Aminuddin Harun, Negeri Sembilan. Terima kasih,” katanya berucap merasmikan Kongres Nasional Tahunan 2024/2025 malam tadi.

Perdana menteri berkata kerjasama berpasukan akan membawa perubahan, termasuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara paling tinggi memberi bantuan kewangan kepada rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah.

Melibatkan peruntukan RM13 bilion, sumbangan berkenaan membantu sembilan juta penduduk dan jumlah berkenaan tidak termasuk beberapa lagi insentif kebajikan lain.

“Inilah juga kerajaan yang pertama kali mengutamakan golongan orang kurang upaya (OKU). Tahun ini belanjakan RM1.3 bilion. Saya sebutkan hal ini supaya anggota KEADILAN dan rakyat lakukan perubahan.

“Kerana hanya KEADILAN bersama Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GPS, GRS akan bersama kuatkan kerajaan dan tingkatkan pembelaan rakyat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619