SHAH ALAM, 23 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan mempengerusikan Mesyuarat Dewan di-Raja Selangor di Istana Alam Shah, Klang.
Dalam mesyuarat itu semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan Kerajaan Negeri sentiasa proaktif dalam melaksanakan tindakan segera khususnya berhubung isu atau projek melibatkan rakyat.
“Baginda mahu wakil rakyat di negeri ini dan pihak berkuasa tempatan kurangkan bercakap, lebihkan tindakan (less talk, more action),” titahnya menerusi Facebook Selangor Royal Office.
Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menyaksikan upacara mengangkat sumpah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin sebagai ahli Ex-Officio serta bekas pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selaku ahli Orang-Orang Besar.
Mesyuarat ke-159 yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari itu menumpukan kepada perbincangan mengenai hal ehwal agama Islam di Selangor.