AGENDA

Polis terus perkemas siap siaga sambut pemimpin Asean

23 Mei 2025, 8:14 AM
Polis terus perkemas siap siaga sambut pemimpin Asean

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkemas kesiapsiagaan untuk menyambut ketibaan ketua-ketua negara dan delegasi yang akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di sini, bagi memastikan setiap prosedur ditetapkan berjalan lancar.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman DCP M. V. Sri Kumar berkata hingga kini sekurang-kurangnya empat latihan simulasi telah dilaksanakan melibatkan kerjasama erat antara PDRM, Kementerian Luar (KLN) dan pelbagai agensi berkaitan.

“Semalam, kita adakan raptai mengikut waktu sebenar ketibaan ketua-ketua negara.

“Hari ini, latihan simulasi tertumpu kepada penambahbaikan perincian seperti lokasi hentian kenderaan rasmi, laluan berjalan kaki untuk sesi bergambar serta elemen protokol lain,” katanya kepada Bernama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan penugasan sebanyak 6,200 pegawai dan anggota polis secara bergilir-gilir selama 24 jam setakat ini berjalan lancar.

“Latihan ini turut membantu dalam menyusun penugasan serta kedudukan pegawai di lokasi strategik bagi memastikan keselamatan ketua-ketua negara dan delegasi asing terjamin sepenuhnya,” katanya.

Mengenai penutupan jalan yang turut melibatkan laluan di sekitar KLCC bermula pada hari ini, Sri Kumar berkata pelaksanaannya setakat ini berjalan dengan baik dan perjalanan para delegasi ke destinasi masing-masing juga lancar.

“Orang ramai mungkin salah faham (dengan menganggap) penutupan (jalan) dilakukan secara berterusan, sebenarnya ia dilakukan bagi tempoh tertentu sahaja bagi (memberi laluan) dan membolehkan konvoi melepasi jalan yang ditutup.

“Saya berterima kasih kepada orang ramai yang merancang perjalanan atau mula menggunakan pengangkutan awam ketika persidangan ini. Kita perlu mengutamakan kepentingan negara pada masa-masa seperti ini,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean ke-46 dimulakan dengan mesyuarat pegawai-pegawai kanan pada hari ini diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan pula akan bermula pada 26 Mei.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619