AGENDA

Bantuan ke Gaza tersekat, 90 peratus kanak-kanak dalam kebuluran

22 Mei 2025, 11:29 PM
Bantuan ke Gaza tersekat, 90 peratus kanak-kanak dalam kebuluran

GENEVA, 23 MEI: Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mendakwa bahawa tiada seorang pun penduduk awam di Gaza menerima bantuan kemanusiaan yang dihantar ke wilayah itu minggu ini, sambil memberi amaran bahawa penghantaran yang sangat terhad boleh mencetuskan kekacauan dan keganasan.

“Saya boleh buktikan bahawa tiada siapa yang menerima bantuan. Tiada penduduk awam menerima apa-apa setakat ini,” kata Younis Al Khatib kepada wartawan dalam sidang media di Geneva pada Khamis.

“Kebanyakan trak bantuan masih berada di Kerem Shalom di sempadan - sudah diperiksa, tetapi belum masuk ke Gaza,” katanya seperti dilaporkan oleh Anadolu Ajansi (AA).

Al Khatib menggambarkan keadaan di lapangan sebagai amat kritikal dan berkata bantuan yang sangat minimum hanya memburukkan lagi krisis kemanusiaan.

“Saya fikir ini seperti satu jemputan kepada kematian. Mereka sedang kelaparan,” katanya, sambil menambah bahawa kekurangan makanan yang teruk sudah pun meragut nyawa.

Beliau memetik laporan yang menunjukkan bahawa 90 peratus kanak-kanak di Gaza berada di ambang kebuluran.

“Hari ini, kita dengar laporan mengenai kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kelaparan. Sukar untuk mengelakkan keadaan menjadi huru-hara dan kejadian rampasan bantuan,” katanya.

Dalam sidang media berasingan yang turut diadakan di Geneva, Menteri Kesihatan Palestin Majed Abu Ramadan berkata seramai 29 orang, termasuk kanak-kanak dan warga emas, telah meninggal dunia dalam beberapa hari kebelakangan ini akibat masalah berkaitan kebuluran.

“Dalam beberapa hari lalu, kita kehilangan 29 kanak-kanak dan warga emas yang tidak berdosa,” katanya, sambil menyifatkan mangsa sebagai “kematian akibat kebuluran.”

-BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619