ad
AGENSI

KDEBWM bakal guna lori lut sinar kutip barangan kitar semula

22 Mei 2025, 12:00 PM
KDEBWM bakal guna lori lut sinar kutip barangan kitar semula
KDEBWM bakal guna lori lut sinar kutip barangan kitar semula

SHAH ALAM, 22 MEI: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan menggunakan lori lut sinar bagi pelaksanaan Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) pada masa akan datang.

Pengarah urusannya berkata penggunaan kenderaan khas itu bagi menunjukkan perbezaan dengan lori sampah biasa selain semua barangan yang dibawa boleh dilihat dengan jelas.

“Buat masa ini, kita ada dua lori menerusi program dengan kerjasama Nestle Malaysia dan bercadang untuk beli 12 lagi,” ujar Dato’ Ramli Mohd Tahir dalam wawancara bersama Media Selangor.

Tambah beliau, sejumlah 2,184 kilogram barangan kitar semula dikumpul pada minggu pertama program di Subang Jaya dan Sepang.

Katanya, sambutan penduduk amat menggalakkan dan rata-rata memuji inisiatif berkenaan berikutan memudahkan mereka mengumpul barangan kitar semula.

“Program ini dilaksana bagi meningkatkan peratusan kitar semula negeri kepada 15 peratus berbanding tahun lalu lapan peratus selain seiring agenda Rancangan Selangor Pertama.

“Kita sasarkan 40,000 rumah berpagar di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) terlibat,” katanya.

[caption id="attachment_702277" align="alignnone" width="890"] Pekerja pembersihan KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil barangan kitar semula yang sudah diasing dari kediaman penduduk di Bandar Puteri 9, Puchong, Subang Jaya pada 15 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Pada April lalu, Kerajaan Negeri menerusi KDEBWM memeterai kerjasama dengan Nestle Malaysia bagi memperkasa kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah.

Menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan kerjasama tersebut merupakan prapermulaan dalam inisiatif yang diperkenal Kerajaan Negeri dalam pembentangan belanjawan sebelum ini.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, kerjasama strategik itu sejajar dengan apa yang digariskan dalam Belanjawan 2025 untuk mengurangkan sisa di kawasan pihak berkuasa tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak kambus tanah.

Langkah perlu dipatuhi untuk membuang barangan kitar semula:

1. Asingkan bahan kitar semula (plastik, kertas, tin, kadbod, kotak minuman)

2. Bersihkan dan keringkan

3. Masukkan dalam kotak atau beg plastik

4. Letakkan di luar rumah mengikut jadual kutipan

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.