AGENDA

Syarikat pengangkutan bermasalah disaran batal lesen

22 Mei 2025, 9:51 AM
Syarikat pengangkutan bermasalah disaran batal lesen

SHAH ALAM, 22 MEI: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) disaran membatalkan lesen pengendali syarikat pengangkutan yang gagal memastikan kenderaan mereka selamat untuk beroperasi di jalan raya.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muhammad Kifli Mat Hassan berkata ia susulan peningkatan kes pemilik lori dan kenderaan berat gagal memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM), tidak mempunyai perlindungan insurans sah serta mengabaikan pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Dari 2022 hingga 2024, JPJ menyita 2,696 lori dan tahun ini sahaja, 365 lori disita setakat April lepas atas pelbagai jenis kesalahan seperti lebih muatan dan tidak selamat untuk beroperasi di jalan raya.

"Berdasarkan statistik Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan, JPJ mengesyorkan APAD membatalkan 15 permit kenderaan, menggantung 513 lesen pengendali atau permit kenderaan manakala 28 lagi dikenakan amaran," katanya pada sidang media Stesen Penguatkuasa Elmina Selatan di sini hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan 3,061 lori yang disita, 135 daripadanya adalah di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987, tujuh dilucutkan hak di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 manakala selebihnya masih disiasat.

Muhammad Kifli berkata pihaknya membuka 17 kertas siasatan berkaitan kenderaan perdagangan termasuk lori yang terlibat dengan kemalangan akibat kecuaian atau masalah teknikal.

Beliau berkata daripada jumlah itu, satu kes dikenakan hukuman, tiga dalam perbicaraan, satu dikenakan pendakwaan, 11 disiasat manakala satu lagi sedang menunggu laporan kimia.

Bermula tahun ini, Muhammad Kifli berkata JPJ juga membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 234 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan menghalang pegawai atau anggota agensi itu menjalankan tugas di seluruh negara.

"Setakat ini, enam kertas siasatan dibuka membabitkan kes pemandu lori yang lari meninggalkan kenderaan di tengah jalan apabila mahu diperiksa termasuk sengaja merosakkan lori yang dipandu," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619