AGENDA

Jadual komuter Lembah Klang alami perubahan sementara bermula 24 Mei

22 Mei 2025, 8:30 AM
Jadual komuter Lembah Klang alami perubahan sementara bermula 24 Mei

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang akan mengalami perubahan jadual sementara selama tiga hari bermula 24 Mei ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perubahan itu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja menaik taraf sistem semboyan di laluan Stesen Kepong hingga Stesen Salak Selatan sebagai sebahagian usaha berterusan KTMB untuk meningkatkan kecekapan sistem dan keselamatan operasi tren.

Sepanjang tempoh pelaksanaan itu, dua laluan utama KTM Komuter iaitu Pulau Sebang - Batu Caves - Pulau Sebang dan Tanjung Malim - KL Sentral - Tanjung Malim serta perkhidmatan tren elektrik (ETS) dijangka mengalami kelewatan hingga 50 minit berbanding jadual asal.

Selain itu, dua perkhidmatan ETS iaitu EG9425 (Padang Besar - Segamat) dan EG9321 (Butterworth - Segamat) akan mengalami perubahan platform di Stesen KL Sentral dan Stesen Kuala Lumpur pada 24 Mei.

“Pegawai bertugas akan ditempatkan di stesen bagi mengiringi dan membantu penumpang ke platform. KTMB menasihatkan semua penumpang agar merancang perjalanan lebih awal serta menyemak jadual perjalanan di MyRailtime melalui aplikasi KTMB Mobile.

“Penumpang juga dinasihatkan sentiasa peka terhadap pengumuman di stesen serta hebahan melalui saluran rasmi media sosial KTMB,” menurut kenyataan itu.

KTMB memaklumkan khidmat pesanan ringkas (SMS) juga akan dihantar kepada penumpang ETS yang terjejas sebagai notifikasi awal mengenai kelewatan mungkin berlaku.

“KTMB amat menghargai kesabaran dan sokongan berterusan semua pengguna sepanjang pelaksanaan kerja naik taraf ini.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran media rasmi KTMB atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 03-9779 1200,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619