AGENDA

PM: Isu Gaza, pelaburan antara fokus Sidang Kemuncak Asean

22 Mei 2025, 7:43 AM
PM: Isu Gaza, pelaburan antara fokus Sidang Kemuncak Asean

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Situasi di Gaza, pengukuhan kerjasama antara negara anggota, kepentingan ekonomi serantau serta inisiatif pelaburan dalam kalangan negara Asean menjadi tumpuan dalam Pemukiman Pemimpin sempena Sidang Kemuncak Asean ke-46.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan projek Grid Tenaga Asean sebagai langkah besar dalam memperkukuh kerjasama tenaga serantau.

“Malaysia, selaku Pengerusi Asean tahun ini, tekad untuk terus memacu Asean sebagai sebuah kuasa serantau yang berprinsip, dengan hala tuju ekonomi jelas dan mampan,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini malam tadi.

Mengulas isu tarif dikenakan Amerika Syarikat, Anwar berkata tumpuan Malaysia adalah terhadap pembaharuan ekonomi domestik dan memperluas kerjasama dengan rakan seperti China, India, Pakistan serta memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU).

“Malaysia kekal komited sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, meneruskan hubungan dengan rakan dagang tradisional seperti China dan Amerika Syarikat, di samping meneroka pasaran baharu termasuk menjalin hubungan dagang dengan Rusia,” katanya.

Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dengan pengamal media termasuk kenalan lama sambil bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa dan global.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619