Oleh Aliff Haiqal Mohamed
SHAH ALAM, 21 MEI: Skim Khairat Darul Ehsan (KDE) dirangka khusus Kerajaan Negeri bagi memastikan lebih ramai warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerima pampasan kematian RM1,000.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata skim baharu itu merupakan penambahbaikan daripada Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Iltizam Sihat Selangor (ISS) dan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).
[caption id="attachment_699917" align="aligncenter" width="812"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 6 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“KDE membolehkan waris ahli yang berdaftar menerima sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,000, berbanding sebelum ini hanya RM500.
“Syarat KDE juga dilonggarkan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Selangor menikmati manfaat khairat kematian.
"Jika dahulu SMUE untuk individu 60 tahun ke atas, kini (di bawah KDE) diperluas kepada individu 50 tahun ke atas,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Anfaal memberitahu, individu yang layak boleh membuat permohonan baharu melalui laman sesawang kde.yawas.com.my bermula 1 Jun hingga 31 Disember ini.
Jelasnya, bagi ahli SMUE, ISS dan INSAN, mereka hanya perlu mengemas kini serta mengesahkan maklumat diri dan waris selewat-lewatnya sebelum 1 Jun.
Menerusi Belanjawan Selangor 2024, Kerajaan Negeri memperuntuk RM20 juta untuk menjayakan KDE dengan sasaran seramai 20,000 penerima.
Sebelum ini, pembayaran khairat kematian menerusi SMUE pernah dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021 dengan peruntukan RM7.5 juta dan bantuan RM500.