AGENDA

Laporan: Satu dari empat pekerjaan global terancam akibat AI

21 Mei 2025, 3:00 AM
Laporan: Satu dari empat pekerjaan global terancam akibat AI

ISTANBUL, 21 MEI: Sebanyak 25 peratus pekerjaan di seluruh dunia berpotensi terdedah kepada ancaman kecerdasan buatan generatif (GenAI), dengan pekerjaan perkeranian dan yang melibatkan bidang digital menghadapi risiko tertinggi, menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Institut Penyelidikan Kebangsaan Poland (NASK) pada Selasa.

Laporan bertajuk "Generative AI and Jobs: A Refined Global Index of Occupational Exposure" itu dianggap penyelidik sebagai penilaian global paling terperinci setakat ini mengenai bagaimana GenAI mungkin membentuk semula pasaran buruh, lapor Anadolu Ajansi.

Namun kajian itu menekankan bahawa transformasi pekerjaan dan bukannya penggantian secara besar-besaran lebih berkemungkinan berlaku hasil integrasi AI di tempat kerja.

“Kami melangkaui teori dengan membina alat berasaskan pekerjaan sebenar,” kata Penyelidik Kanan ILO merangkap pengarang utama laporan itu, Pawel Gmyrek.

“Dengan menggabungkan pandangan manusia, semakan pakar dan model GenAI, kami telah mencipta kaedah yang boleh diguna pakai semula bagi membantu negara menilai risiko dan bertindak balas dengan tepat.”

Menurut kajian itu, kadar pendedahan global kepada GenAI adalah sebanyak 25 peratus, namun meningkat kepada 34 peratus di negara berpendapatan tinggi susulan integrasi digital yang lebih meluas.

Pekerjaan perkeranian menghadapi risiko tertinggi kerana GenAI secara teorinya boleh mengautomasikan pelbagai tugas pentadbiran dan kemasukan data. Pekerjaan lain yang turut terdedah ialah bidang kognitif seperti media, pembangunan perisian dan kewangan.

Laporan itu turut memperkenalkan “indeks pendedahan pekerjaan” berdasarkan hampir 30,000 tugas pekerjaan, yang disemak silang menggunakan “skor AI”, pengesahan pakar dan data pekerjaan ILO untuk membolehkan analisis lebih terperinci mengenai kesan teknologi itu mengikut negara dan sektor.

Dapatan juga menunjukkan jurang jantina yang ketara. Di negara berpendapatan tinggi, 9.6 peratus wanita bekerja dalam pekerjaan yang berisiko tinggi untuk diautomasikan, berbanding hanya 3.5 peratus lelaki.

Walaupun mengakui bahawa GenAI boleh meningkatkan produktiviti, laporan itu mengingatkan bahawa kesannya akan bergantung kepada kadar penerimaan, infrastruktur negara dan tahap kemahiran digital pekerja.

Laporan itu menggesa kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja untuk terlibat dalam dialog sosial serta merangka dasar bagi melindungi pekerja, menggalakkan peningkatan kemahiran dan memastikan peralihan adil dalam sektor yang terdedah kepada GenAI.

Kajian itu selari dengan penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2024 yang menjangkakan AI boleh mempengaruhi sehingga 40 peratus pekerjaan di seluruh dunia, dengan ekonomi maju paling terkesan.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619