ad
AGENDA

1,800 permohonan insentif haji negeri lulus, seru ramai lagi mohon

20 Mei 2025, 2:00 PM
1,800 permohonan insentif haji negeri lulus, seru ramai lagi mohon
1,800 permohonan insentif haji negeri lulus, seru ramai lagi mohon
1,800 permohonan insentif haji negeri lulus, seru ramai lagi mohon

GOMBAK, 20 MEI: Sebanyak 1,800 permohonan Insentif Muassasah Haji oleh bakal jemaah haji di seluruh Selangor sudah diluluskan, setakat ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru bakal jemaah yang berkelayakan supaya segera memohon sebelum tarikh tutup pada 25 Julai ini.

“Ketika ini setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sedang giat mendaftar (permohonan). Justeru, kita menyeru mana-mana bakal jemaah haji yang berkelayakan untuk memohon insentif ini di pusat khidmat masyarakat yang berhampiran.

“Sumbangan ini untuk memastikan kebajikan umat Islam terus terbela, khususnya dalam melaksanakan ibadah haji yang menuntut persediaan fizikal, mental dan kewangan yang rapi. Inisiatif ini juga mencerminkan keprihatinan pimpinan negeri terhadap rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Muassasah Haji 2025 Parlimen Gombak di Masjid Al-Ridhuan Hulu Kelang di sini hari ini.

[caption id="attachment_702078" align="alignright" width="447"] Ahmad Zaini, 51[/caption]

Terdahulu, Amirudin turut menyampaikan simbolik penyerahan Insentif Muassasah Haji kepada 47 bakal jemaah haji di Parlimen Gombak yang belum berangkat ke tanah suci.

Jelasnya, waris atau jemaah haji yang belum berkesempatan untuk mengambil insentif berkenaan boleh mengambilnya di pusat khidmat masyarakat DUN berhampiran.

Sementara itu, salah seorang penerima Ahmad Zaini, 51, merancang mahu menggunakan wang sumbangan untuk tampung perbelanjaan menunaikan haji di tanah suci nanti.

“Saya dapat tahu berkenaan insentif daripada rakan ketika kursus haji tempoh hari, proses memohon pun mudah. Alhamdulillah, dengan wang ini sekurang-kurangnya mampu meringankan beban dan buat belanja di tanah suci nanti,” katanya yang bakal berangkat pada 27 Mei ini.

Manakala, Jumanah Amir, 65, pula bakal berangkat menunaikan Haji pada 24 Mei ini turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri terhadap sumbangan yang diberikan.

“Insya-Allah, dengan sumbangan ini saya niat untuk hulurkan kepada yang memerlukan di tanah suci nanti atau sedekah kepada masjid kawasan perumahan di Taman Melawati, harap inisiatif diteruskan,” katanya.

[caption id="attachment_702079" align="alignleft" width="468"] Jumanah Amir, 65[/caption]

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan 2025 memaklumkan Insentif Muassasah Haji Selangor diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.2 juta bagi memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan dan berhasrat menunaikan ibadah tersebut.

Ia adalah program tajaan penuh haji kepada rakyat B40 yang dibiayai Kerajaan Negeri.

Selain itu, Amirudin sebelum ini memaklumkan permohonan Insentif Haji Muassasah sebanyak RM1,000 akan dibuka bermula Selasa ini sehingga 25 Julai depan.

Menurutnya, inisiatif yang bakal memanfaatkan 6,000 penerima dengan peruntukan keseluruhan RM6 juta itu, layak dimohon jemaah yang mengundi di Selangor menerusi pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.