AGENDA

Azalina cadang pertimbang umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun

20 Mei 2025, 12:10 PM
Azalina cadang pertimbang umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun

PUTRAJAYA, 20 MEI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

Azalina yang menyuarakan pandangan peribadinya berkata adalah satu kerugian apabila individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja.

“Mungkin kerajaan boleh pertimbang umur 65 tahun (persaraan). Ini pandangan peribadi saya, bukan pandangan Kabinet. Ada pegawai yang kami temui masih muda (jiwanya) dan aktif. Cuma mereka dah capai umur (persaraan wajib) 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 dan program 'Jasamu Dikenang' 2025 kementerian itu di sini hari ini.

Azalina berkata beberapa negara, termasuk negara anggota Asean yang telah dilawati, beliau berkata ada yang masih berkhidmat hingga usia 70-an, dan hakim dibenarkan kekal dalam jawatan hingga umur 65 atau 70 tahun.

Di Malaysia, persaraan wajib bagi penjawat awam pada masa ini ditetapkan pada usia 60 tahun. Ini juga usia persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619