AGENDA

Sidang Kemuncak Asean: RapidKL lanjut operasi rel pada waktu puncak

20 Mei 2025, 8:34 AM
Sidang Kemuncak Asean: RapidKL lanjut operasi rel pada waktu puncak

KUALA LUMPUR, 20 MEI: RapidKL akan melanjutkan waktu operasi rel pada waktu puncak pagi dan petang bermula 23 hingga 27 Mei ini, bersempena dengan Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang diadakan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini memaklumkan waktu puncak pada hari bekerja dilanjutkan satu jam lebih awal bermula 6.30 pagi hingga 10 pagi dan 4.30 petang hingga 8 malam berbanding waktu puncak biasa iaitu 7 hingga 9.30 pagi, dan 5 petang hingga 7.30 malam.

Prasarana memaklumkan kekerapan operasi tren pada hujung minggu khususnya pada 24 dan 25 Mei turut ditambah bagi menampung peningkatan jumlah penumpang sepanjang tempoh persidangan.

Menurut kenyataan itu, RapidKL juga akan mempertingkatkan pemantauan dan kawalan operasi bagi memastikan kelancaran perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang sidang kemuncak berlangsung.

“Sekiranya berlaku peningkatan jumlah penumpang atau keperluan operasi, pihak RapidKL bersedia menambah bilangan tren.

“Sebanyak 400 kakitangan tambahan turut ditempatkan di stesen-stesen rel terpilih bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang dan delegasi Asean yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam,” menurut kenyataan itu.

Bagi operasi perkhidmatan bas dan RapidKL On-Demand, Prasarana memaklumkan beberapa laluan dijangka mengalami kelewatan jadual perjalanan susulan penutupan jalan secara berperingkat oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh tersebut.

Antara yang terlibat ialah Laluan 402 (LRT Titiwangsa – LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa – KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang), Rapid KL On-Demand (Zon Titiwangsa – Chow Kit).

“Pengguna bas yang ingin ke KLCC dan kawasan sekitarnya disaran untuk menggunakan perkhidmatan rel bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” menurut kenyataan itu.

Prasaranan menyarankan penumpang agar merancang perjalanan lebih awal, memantau notifikasi terkini melalui media sosial rasmi Rapid KL atau memuat turut aplikasi PULSE, serta mempertimbangkan penggunaan alternatif seperti perkhidmatan rel bagi mengelak sebarang kesulitan.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619