AGENDA

Operasi penguatkuasaan kenderaan berat diteruskan

19 Mei 2025, 11:32 AM
Operasi penguatkuasaan kenderaan berat diteruskan

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan akan terus dilaksanakan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata operasi secara bersepadu itu dijalankan bersama agensi lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dengan memberi tumpuan kepada tahap keselamatan kenderaan berat.

"Operasi untuk kenderaan berat kita telah laksanakan sejak dulu secara berkala iaitu Op Kenderaan Perdagangan yang melibatkan kenderaan berat seperti lori dan pengangkutan awam seperti bas dan bersama JPJ.

"Kita jalankan operasi bersama JPJ bagi memastikan pemandu ini mematuhi undang-undang jalan raya dan memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik, sempurna, dan mekanikalnya pun bagus yang boleh berada di atas jalan raya dengan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan amanat kepada warga JSPT yang akan bertugas semasa Sidang Kemuncak Asean di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas perkembangan siasatan kemalangan mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lepas, beliau berkata seorang pemandu lori telah didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan Jumaat lepas.

"Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan siasatan yang telah melengkapkan kertas siasatan yang begitu cepat dan lengkap," katanya.

– BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619