PELABUHAN KLANG, 19 MEI: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus mempertingkat dan mengetatkan kawalan di pelabuhan negara, khususnya di Pelabuhan Klang dalam membendung kemasukan buangan sisa haram.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementerian memandang serius sebarang percubaan menjadikan Malaysia, khususnya Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk bagi tujuan pengimportan atau pelupusan sisa haram.
Beliau berkata tindakan itu akan terus dilakukan pihaknya menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjadikan negara ini sebagai destinasi pelupusan sisa oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Semua pengimport diingatkan mematuhi kehendak perundangan dan peraturan yang ditetapkan dan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan undang-undang paling tegas tanpa kompromi,” katanya kepada pemberita selepas lawatan pemeriksaan kontena sisa haram di Pelabuhan Utara di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata sejak 14 Mac lalu, JKDM Selangor menahan 354 kontena dipercayai mengandungi buangan elektronik (e-sisa) dan sisa plastik yang memasuki Malaysia melalui Pelabuhan Klang, khususnya Pelabuhan Utara.
“Pemeriksaan itu dilakukan susulan maklumat yang diterima daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Amerika Syarikat mengenai kemasukan kontena dari negara berkenaan.
“Pelbagai agensi penguatkuasaan dan teknikal, termasuk JAS, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta SIRIM Berhad akan meneruskan pemeriksaan ke atas baki kontena yang masih belum diperiksa, bersama-sama dengan JKDM.
Beliau berkata dalam tempoh 1 Januari hingga 13 Mei, JAS memeriksa 179 kontena dipercayai membawa e-sisa dengan 122 kontena (68 peratus) ditahan serta disahkan membawa sisa berkenaan.
“Siasatan lanjut mendapati pengimport terlibat membuat pengisytiharan palsu. Susulan itu, 119 notis arahan dikeluarkan kepada syarikat pengimport di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, bagi tujuan pemulangan semula kontena ke negara asal,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi menggalakkan mana-mana kerajaan negeri untuk membenarkan perlombongan unsur nadir bumi (REE) dilaksanakan namun perlu mengikut syarat serta prosedur operasi standard supaya ada ‘feedstock’ bagi sumber berkenaan.
Kerajaan pusat tidak meminggirkan mana-mana kerajaan negeri untuk berbuat demikian kerana menjadi hasrat negara untuk muncul sebagai hub yang bukan hanya melombong REE, tetapi memberi nilai tambah lain, antaranya membabitkan pemprosesan sumber itu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kejayaan Lynas Rare Earths Malaysia (Lynas) memulakan pengeluaran pertama unsur nadir bumi berat terasing luar dari China.
Media sebelum ini melaporkan, Lynas memulakan pengeluaran pertama unsur nadir bumi berat terasing di kemudahannya di Gebeng sekali gus menjadi satu-satunya pengeluar komersial bahan berkenaan di luar China.
Dalam satu kenyataan pada minggu lalu, Lynas memaklumkan pengeluaran oksida disprosium (Dy) berjaya dilaksanakan menerusi barisan pengeluaran baharu yang mula beroperasi awal tahun ini manakala pengeluaran terbium (Tb) pula dijadualkan bermula bulan depan.
- BERNAMA