ad
AGENDA

Pemandu lori ditahan semula bantu siasatan kes curi lembu di Hutan Melintang

19 Mei 2025, 8:42 AM
Pemandu lori ditahan semula bantu siasatan kes curi lembu di Hutan Melintang

IPOH, 19 MEI: Pemandu lori yang menghadapi pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ditahan semula berkaitan kes curi lembu sebaik diikat jamin, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Supt Mohammad Ali Mohd Jali berkata penahanan semula lelaki berusia 45 tahun itu dilakukan di pekarangan Mahkamah Teluk Intan 12.20 tengah hari tadi.

“Tangkapan dilakukan oleh pihak polis susulan satu laporan polis yang diterima pada 14 April 2025 daripada seorang lelaki warga tempatan berhubung kehilangan dua ekor lembu di kawasan Kampung Sungai Keli Hutan Melintang.

“Kini suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk untuk siasatan lanjut berhubung kes tersebut. Ini prosedur biasa selepas kita terima laporan berhubung kes curi dan dia memang suspek satu kes jenayah di sini. Polis sudah cari lama dan kebetulan masa kemalangan tersebut kita tengok dia yang bawa lori itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata apabila kes siasatan ini selesai dan terbukti suspek melakukan jenayah curi itu, pihak polis akan mendakwanya di mahkamah dalam masa terdekat.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 kanun keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tertuduh dijamin RM6,000 seperti ditetapkan mahkamah Jumaat lalu oleh majikannya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.