AGENDA

Hipertensi ‘pembunuh senyap’ di Asia Tenggara, 90 peratus pesakit tidak dirawat sempurna

19 Mei 2025, 12:20 AM
Hipertensi ‘pembunuh senyap’ di Asia Tenggara, 90 peratus pesakit tidak dirawat sempurna

GENEVA, 19 MEI: Hipertensi terus menjadi cabaran utama kesihatan awam - pembunuh senyap yang menjejaskan lebih 294 juta orang di rantau Asia Tenggara, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

"Faktor risiko tingkah laku yang boleh diubah suai seperti penggunaan tembakau dan alkohol, pengambilan garam yang tinggi, kurang aktiviti fizikal, pemakanan tidak sihat, dan tekanan mental terus menyumbang kepada peningkatan hipertensi," kata Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Asia Tenggara, Saima Wazed.

Beliau menyampaikan mesej ini sempena Hari Hipertensi Sedunia, yang disambut setiap tahun pada Sabtu (17 Mei), bertujuan meningkatkan kesedaran serta mempromosikan pencegahan, pengesanan dan kawalan hipertensi.

Pada tahun ini, yang menandakan ulang tahun ke-20 sambutannya, ia diraikan dengan tema, "Ukur Tekanan Darah Anda dengan Tepat, Kawal Ia, Hidup Lebih Lama!"

"Hipertensi kekal sebagai penyumbang utama kepada kematian pramatang akibat serangan jantung dan strok di rantau ini. Lebih membimbangkan, keperluan yang tidak dipenuhi - yang ditakrifkan sebagai jurang antara mereka yang mengalami tekanan darah tinggi dan mereka yang didiagnosis, dirawat, dan dikawal dengan baik - kekal setinggi 88 peratus.

"Ini menunjukkan sembilan daripada setiap 10 orang yang mengalami hipertensi tidak menerima rawatan yang optimum," kata Wazed.

"Dengan kemahuan politik yang kukuh, penglibatan masyarakat, dan pendekatan inovatif, kita dapat mengurangkan beban hipertensi dan semakin hampir untuk mencapai matlamat global kita mengurangkan kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit sebanyak satu pertiga menjelang 2030," katanya.

"Pada Hari Hipertensi Sedunia 2025 ini, marilah kita memperbaharui komitmen untuk bertindak secara tegas dan bersama. Marilah kita bekerjasama memastikan setiap individu mempunyai peluang untuk menjalani kehidupan lebih lama dan sihat - bebas daripada komplikasi hipertensi yang boleh dicegah," katanya.

- BERNAMA-WAM

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619