AGENDA

PM bangga prestasi skuad sepak takraw, seru teruskan semangat juang

18 Mei 2025, 1:32 PM
PM bangga prestasi skuad sepak takraw, seru teruskan semangat juang

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Skuad sepak takraw negara telah mempamerkan prestasi yang membanggakan dan menunjukkan pencapaian luar biasa dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun Malaysia tewas kepada Thailand, beliau tetap yakin skuad negara mampu bangkit dan mencipta kejayaan pada masa hadapan.

“Kekalahan hari ini bukan bererti kegagalan selamanya. Skuad regu negara pasti akan bangkit dengan lebih kuat dan padu dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang.

“Terima kasih atas semangat juang yang tinggi dan usaha yang tidak mengenal penat lelah demi mengharumkan nama Malaysia,” katanya di Facebook, hari ini.

Malaysia terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib juara bagi acara regu berpasukan selepas tewas kepada Thailand 0-2 pada aksi final Piala Asia 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Pasukan regu pertama negara, Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) kalah 11-15 pada set pertama sebelum bangkit 15-12 namun kecundang 15-17 dalam pertarungan penuh debar.

Regu kedua yang dianggotai Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin pula sekadar menang set pertama 15-13 sebelum dikecewakan 13-15 dan 4-15 oleh trio Thailand, Sittipong Kamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619