AGENDA

Piala Asia: Thailand tewaskan Malaysia acara regu berpasukan

18 Mei 2025, 12:20 PM
Piala Asia: Thailand tewaskan Malaysia acara regu berpasukan

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Harapan tinggi rakyat Malaysia untuk melihat skuad sepak takraw negara menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun dalam acara regu berpasukan terkubur jua selepas tunduk kepada seteru tradisi, Thailand, 0-2 pada aksi final Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

Walaupun beraksi di laman sendiri, impian emas anak-anak buah Ahmad Jais Baharun hancur berkecai apabila gagal memecahkan dominasi skuad Gajah Putih yang terus menghantui sepak takraw tanah air sejak tiga dekad lalu.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia sekadar menutup kempen dengan dua trofi menerusi acara kuadran dan regu, sekali gus menamatkan cabaran sulung kejohanan dengan penuh kekecewaan.

Kali terakhir Malaysia menjulang kejuaraan regu berpasukan ialah pada temasya Sukan SEA Manila 1991 – dan sejak itu, penantian demi penantian hanya menjadi luka lama yang berdarah kembali setiap kali bertemu Thailand.

Lebih memilukan, lebih 1,000 penyokong tempatan membanjiri Stadium Titiwangsa dengan semangat membara terpaksa pulang dengan wajah sugul selepas menyaksikan regu pertama negara – Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) tewas 11-15 pada set pertama, sebelum bangkit 15-12 namun kecundang 15-17 dalam pertarungan penuh debar.

Regu kedua yang diharapkan menjadi penyelamat maruah negara – dianggotai Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin – turut gagal menyambung nyawa perjuangan selepas sekadar menang set pertama 15-13, sebelum dikecewakan 13-15 dan 4-15 oleh trio Thailand, Sittipong Kamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon.

Kekalahan itu sekali gus menggagalkan misi Malaysia untuk melakar sejarah baharu di pentas Asia dan terus menyaksikan bayang-bayang kehebatan masa silam kekal menghantui arena sepak takraw negara.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619