ad
BERITA UTAMA

Kesan awal penyakit, daftar program saringan kesihatan percuma di dua lokasi

17 Mei 2025, 1:20 PM
Kesan awal penyakit, daftar program saringan kesihatan percuma di dua lokasi
Kesan awal penyakit, daftar program saringan kesihatan percuma di dua lokasi

SHAH ALAM, 17 MEI: Pogram saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Selangor diteruskan di dua lokasi pada 25 dan 31 Mei.

Bermula dari 9 pagi hingga 3 petang, inisiatif Selangor Saring diadakan di Dewan Serbaguna Kerayong (DUN Sementa) pada 25 Mei manakala 31 Mei di Dewan Kampung Sungai Buaya (DUN Batang Kali).

Pada bulan ini, program saringan kesihatan percuma telah dianjurkan di DUN Sungai Air Tawar, DUN Seri Setia, DUN Sungai Ramal dan DUN Bukit Gasing.

Program tersebut menyediakan ujian kesihatan antaranya jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, barah, mata, telinga dan gigi.

Orang ramai boleh mendaftar Selangor Saring di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) semudah empat langkah berikut:

  • memuat turun SELangkah
  • tekan butang Selangor Saring
  • isi borang soal selidik
  • pilih lokasi dan tarikh program

Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma yang diperkenal sejak 2022.

Pada 17 Disember tahun lepas, Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hampir 7,000 rakyat negeri ini menjalani saringan percuma sepanjang 2024 dengan 38 peratus daripadanya melibatkan individu berumur 46 hingga 64 tahun.

Program Selangor Saring antara usaha membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.