AGENDA

Individu terlibat dadah, cenderung terdedah kepada jenayah lain

16 Mei 2025, 12:30 PM
Individu terlibat dadah, cenderung terdedah kepada jenayah lain

PUTRAJAYA, 16 MEI: Kajian yang dijalankan Pusat Sains Data Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati individu yang terlibat dengan penagihan dan pengedaran dadah, cenderung untuk terdedah kepada beberapa jenis jenayah lain, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata mereka yang dikaitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, iaitu memasukkan dadah ke dalam badan, individu itu akan terlibat dengan 28 jenis jenayah lain seperti peras ugut jenayah, rasuah dan lain-lain.

“Kalau dia terlibat dengan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB, iaitu memiliki dadah, dia akan terlibat dengan 11 jenayah lain.

“Data ini memberi isyarat kepada kita bahawa jika mahu tangani puluhan jenayah lain, kita perlu atasi masalah dadah dahulu,” katanya ketika Sesi Minum Petang sempena Peringatan Hari Antidadah 2025, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata usaha memerangi dadah bukan terletak atas bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya ia memerlukan penglibatan semua pihak temasuk agensi swasta, komuniti dan pakar berkaitan.

“Zaman kerajaan tahu segalanya sudah berakhir. (Untuk) memerangi hal dadah, kita tak boleh buat macam status quo macam sekarang, dah tak bolehlah kalau kita peluk tubuh untuk harap perubahan.

“Kita kena jadikan ia satu gerakan nasional, libatkan semua pihak berkepentingan, pimpinan masyarakat, pemimpin komuniti, anak sekolah, pemimpin belia dan lain-lain lagi. Kena ada anjakan daripada cara biasa yang kita buat,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata berdasarkan statistik terkini, jumlah klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang direkodkan pada suku pertama tahun ini sebanyak 108,409 kes, penurunan 10.5 peratus berbanding 121,170 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Kadar kepulihan klien AADK ketika ini mencecah 80 peratus dalam tempoh dua tahun dan ia satu angka yang membanggakan," katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619