SHAH ALAM, 16 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengedarkan 1,280 unit tong sampah boleh alih (MGB) bersaiz 80 liter kepada pembayar cukai dalam kawasan pentadbirannya.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporatnya Ahmad Fauzi Ishak berkata tong sampah itu diberi kepada pembayar yang melunaskan cukai taksiran penuh selama setahun dan melebihi nilai RM200.
“Inisiatif ini merupakan komitmen MPS kepada pembayar cukai susulan pelaksanaan penilaian semula kadar cukai taksiran tahun 2025.
“Kita berharap usaha ini dapat memupuk semangat tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan kawasan persekitaran serta membudayakan gaya hidup bersih dan lestari dalam komuniti,” katanya menerusi kenyataan.
Ahmad Fauzi berkata pembayar cukai yang masih belum membuat tuntutan, boleh berbuat demikian selagi stok masih ada atau sehingga 31 Mei ini dan edaran akan dibuat secara berperingkat.
Tuntutan boleh dibuat di lokasi sama ada Pejabat MPS Cawangan Rawang atau Bilik Fail Berpusat MPS, Taman Selayang Baru.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Unit Hasil, Jabatan Perbendaharaan MPS menerusi talian 03-6126 5961 / 5963 / 5964 / 5966.
Tahun lalu, Selangor mengumumkan penilaian semula cukai taksiran dengan kadar kenaikan 25 peratus membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT), bermula 1 Januari 2025.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata pemilik harta akan menerima diskaun sehingga 75 peratus menerusi kadar baharu itu, berbanding kenaikan 100 peratus yang sepatutnya dibuat.
[caption id="attachment_701322" align="aligncenter" width="693"] Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengedarkan tong sampah boleh alih kepada pembayar cukai dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu. Foto Facebook MPS[/caption]