ad
EXCO

Putra Heights: Bantuan sewa fasa ketiga selesai hari ini, baki minggu depan

16 Mei 2025, 6:39 AM
Putra Heights: Bantuan sewa fasa ketiga selesai hari ini, baki minggu depan
Putra Heights: Bantuan sewa fasa ketiga selesai hari ini, baki minggu depan

SHAH ALAM, 16 MEI: Seramai 149 mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights akan menerima bantuan sewa tiga bulan berjumlah RM6,000 hari ini melalui perbankan internet.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah menjelaskan bantuan fasa ketiga itu bagi meringankan beban keluarga yang terjejas dalam insiden yang berlaku awal bulan lalu.

Menurutnya, fasa pertama bantuan membabitkan 71 penerima diagihkan pada 21 April, manakala fasa kedua meliputi 70 penerima selesai diserahkan pada 25 April.

Membabitkan empat fasa dengan keseluruhan mangsa seramai 456 orang, beliau menambah baki bantuan dijangka selesai disalurkan minggu depan selepas menerima dokumen lengkap.

[caption id="attachment_696687" align="aligncenter" width="764"] EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah ketika taklimat Tawaran Rumah Sementara (Rumah Selangorku) kepada mangsa kebakaran paip gas Putra Heights di PPS Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 14 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menunggu semua dokumen daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling Jaya yang menanti daripada pemohon.

“Terdapat mangsa yang memberi nombor akaun bank milik orang lain. Mereka perlu mendapat pengesahan penghulu dan ketua kampung, ini yang kita cuba selesaikan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Borhan berkata Selangor sedang mempertimbang untuk menyalurkan bantuan penuh enam bulan sewa buat mangsa yang hilang sepenuhnya rumah dalam insiden berkenaan.

"Perkara ini sedang dikaji Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap bantuan itu dapat meringankan beban dan menjamin komitmen negeri membantu mangsa membina semula kehidupan susulan tragedi yang melanda pada 1 April lepas.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sejumlah RM2.73 juta diperuntuk bagi bayaran sewa rumah mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, dana itu disalurkan kepada 456 keluarga dengan masing-masing menerima RM6,000 bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.