AGENDA

PM bidas keputusan sebelah pihak kuasa besar, abai kepentingan negara kecil

16 Mei 2025, 12:26 AM
PM bidas keputusan sebelah pihak kuasa besar, abai kepentingan negara kecil

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas keputusan unilateral yang diambil oleh sesetengah negara, kerana ia hanya menunjukkan kuasa dan keangkuhan serta tidak mempedulikan kepentingan, terutamanya negara kecil.

“Kita perlu menunjukkan bahawa setiap masyarakat, setiap negara, sama ada kecil, kaya atau miskin, mesti diberi penghormatan dan pengiktirafan yang sewajarnya,” kata Anwar semasa syarahan umum bertajuk “Bridging Worlds In A Fractured Age” di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO).

Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan menerima anugerah doktor kehormat daripada MGIMO atas sumbangan beliau dalam menegakkan keamanan sejagat serta mengeratkan kerjasama antarabangsa.

“Apabila kita membicarakan tentang hubungan dua hala, ia bukan sahaja mengenai politik dan diplomasi tetapi juga termasuk perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri.

"Negara-negara perlu memastikan asas ekonomi mereka kukuh tetapi nilai kemanusiaan tidak boleh diabaikan," kata Perdana Menteri.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Rusia Vladimir Putin dan rakyatnya atas penghormatan yang diberikan kepada Malaysia serta sambutan mesra terhadap delegasi Malaysia.

Anwar berkata pertemuan beliau dan Putin berlangsung dengan sangat baik meskipun latar belakang, budaya dan tamadun yang berbeza antara kedua-dua negara.

“Kami berada di sini atas jemputan beliau, sama seperti rakan sekerja saya, dan kami mengadakan perbincangan dengan pemimpin antarabangsa yang sangat penting, yang melayan negara yang agak kecil dengan rasa hormat,” kata beliau.

Begitu juga, di ASEAN, katanya, walaupun terdiri daripada 10 negara yang berbeza, "kami saling hormat menghormati, mendukung kesaksamaan dan inilah yang perlu ditonjolkan kepada dunia."

"Kami berterima kasih kepada rakyat Rusia atas penghormatan dan penghargaan yang diberikan dan percaya bahawa kita perlu bekerjasama (walaupun) berbeza budaya dan agama, dan menjadi sahabat baik,” kata beliau.

Anwar berkata hubungan dua hala juga perlu termasuk pertukaran belia dan pelajar serta penyelidik antara Malaysia dan Rusia.

Menurut beliau, terdapat hampir 400 pelajar Rusia yang menyambung pelajaran di Malaysia manakala kira-kira 700 pelajar Malaysia berada di Rusia.

Beliau juga memuji MGIMO kerana menawarkan pengajian Bahasa Malaysia sebagai mata pelajaran di universiti, sambil menambah pengajian bahasa Rusia juga ditawarkan di Universiti Malaya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619