AGENDA

Lebih 60 individu dipanggil bantu siasatan kemalangan babitkan anggota FRU

14 Mei 2025, 5:04 AM
Lebih 60 individu dipanggil bantu siasatan kemalangan babitkan anggota FRU

TELUK INTAN, 14 MEI: Polis akan memanggil lebih 60 individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini, pada pagi semalam.

Ketua Polis Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata ia termasuk anggota FRU yang berada di lokasi kemalangan serta pemilik syarikat lori membawa muatan batu yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

"Ini bagi mengelakkan siasatan bersifat berat sebelah dan sebagainya. Kita akan melihat (siasatan) daripada semua sudut iaitu kecuaian manusia, isu teknikal melibatkan kenderaan dan isu persekitaran,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Beliau juga meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu untuk tampil bagi membantu siasatan polis.

Sementara itu Bakri berkata seorang anggota FRU terlibat kini berada di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh kerana mengalami pendarahan dalaman dan di kepala selain cedera pada bahagian abdomen.

Beliau berkata lapan lagi anggota FRU yang mengalami kecederaan pula masih menerima rawatan susulan di Hospital Teluk Intan.

Pada kejadian 8.50 pagi semalam, sebuah lori FRU dinaiki 18 anggota pasukan dari Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh terlibat dalam kemalangan dengan lori membawa muatan batu semasa dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.

Kemalangan itu mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, dua parah manakala tujuh lagi cedera.

Majistret Naidatul Athirah Azman hari ini mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap pemandu lori berusia 45 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619