AGENDA

Saksi dengar dentuman kuat, jeritan anggota FRU di lokasi kemalangan

13 Mei 2025, 8:06 AM
Saksi dengar dentuman kuat, jeritan anggota FRU di lokasi kemalangan
Saksi dengar dentuman kuat, jeritan anggota FRU di lokasi kemalangan

TELUK INTAN, 13 MEI: Dentuman kuat kedengaran sebelum suasana berubah menjadi kelam-kabut apabila anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergegas semasa cuba menyelamatkan rakan yang terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan pasir di sini, pagi tadi.

Peniaga gerai makan Airul Amri Abd Hamid, 31, semasa menceritakan peristiwa itu berkata beliau sedang membuat persiapan untuk membuka gerai apabila tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat sekitar 8.50 pagi, menyebabkan beliau bergegas ke lokasi kejadian.

“Keadaan agak kelam-kabut kerana ramai anggota di lokasi. Mereka (lori pasukan) berkonvoi, dan apabila sebuah daripada kenderaan terlibat kemalangan, kenderaan lain di depan berhenti untuk membantu.. ramai menjerit melihat rakan mereka terlibat (kemalangan).

“Suasana begitu pilu melihat mereka berusaha membantu rakan, dan ada mangsa dari kenderaan FRU terbabit yang masih bernafas. Anggota FRU yang lain bantu mengangkat dan menyusun rakan mereka di tepi jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Airul Amri berkata beliau turut melihat ada anggota FRU berkenaan tersepit dalam kenderaan.

[caption id="attachment_700848" align="alignnone" width="891"] Keadaan lokasi kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa konvoi pasukan FRU dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena Hari Wesak pada 13 Mei 2025. Foto Facebook Orang Awam[/caption]

Sementara itu seorang pembantu gerai Noor Ain Asyiqin Abdul Khalel, 38, berkata beliau melihat ramai anggota FRU bergegas turun dari sebuah lagi lori pasukan itu dan berlari ke arah kenderaan yang terbalik akibat kemalangan itu.

“Mereka berlari sambil menjerit Allahuakbar dan ada memanggil nama rakan mereka. Memang dengar orang meraung dan menangis kerana ada (anggota) yang sampai di lokasi beritahu terdapat mangsa sudah pucat dan parah,” katanya.

Beliau berkata kawasan itu memang sering berlaku kemalangan dengan tiga kejadian berlaku dalam tempoh enam bulan, namun beliau berkata insiden hari ini paling menyayat hati kerana melibatkan kehilangan nyawa.

Pagi tadi Ketua Polis Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, semasa konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena Hari Wesak di sini.

Semua mayat terlibat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619