Oleh Aida Nyan
Meski tangan kanannya kudung dikisar mesin pada zaman kanak-kanak, Azizi Latif mampu membawa karya seninya ke persada antarabangsa.
Kini berusia 37 tahun, bapa tiga anak itu yang bergiat dalam seni kertas tiga dimensi menang pertandingan Lukisan UOB Tahun 2015, satu acara seni berprestij di Asia Tenggara sejak 1982.
Sebahagian karya yang dihasilkannya sejak 2014 turut terjual ke luar negara antaranya Itali, Hong Kong dan Perancis. Paling mahal, satu karya terjual lebih RM100,000.
Reputasi Azizi kian terserlah di mata dunia apabila penghasilan karyanya dikembangkan lagi hasil tunjuk ajar dalam program Selangor Youth Community (SAY) empat tahun kemudian.
Minatnya tumbuh sejak kecil lagi. Peristiwa tangan terputus tidak sesekali merencat impiannya. Pada 1992, Azizi, didorong rasa ingin tahu, memasukkan tangannya ke mesin pengisar daging yang digunakan ibunya untuk membuat kuih-muih jualan. Ketika itu, ibunya sedang tidur.
Jari hingga pergelangan tangannya hancur. Sisa tangannya bercampur ubi yang telah lumat dikisar. Apabila dibawa ke hospital, tangannya tidak dapat diselamatkan.
“Tangan sebelah, tak ada jari je pun. Bukanlah sampai hilang sampai habis, takkan sampai tak boleh nak buat kerja. Saya selalu fikir macam itu,” katanya kepada Media Selangor pada 19 April.
Tamat pengajian ijazah sarjana muda seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2012, Azizi bekerja sebagai pembantu pelukis di sebuah syarikat tempatan.
[caption id="attachment_700609" align="aligncenter" width="1006"] Pelukis Azizi Latif ditemubual Media Selangor ketika perasmian pameran 'Reverie Unbound: Unraveled Perspectives' di Fab Cafe Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 19 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau mahu membuktikan seni berupaya menjamin masa depan dari segi kewangan, lebih-lebih lagi minatnya itu tidak disenangi keluarganya yang cenderung kepada pekerjaan kolar putih. Apatah lagi, jiwa kesenimanannya utuh, seperti bapa saudaranya yang juga pelukis terkenal, Kasim Abas.
“Bila orang pandang rendah, saya tak pernah rasa nak putus asa, saya lebih kepada marah kenapa orang tak faham seni. Asal cakap pelukis, orang ingat kita lukis tepi jalan. Sebab itu, saya tekad buktikan seni bukan sekadar itu,” katanya.
Mulai 2013, Azizi bekerja sendiri untuk menghasilkan karya seni kolaj. Beliau membuat inovasi teknik seni tersebut sekali gus membina identiti sendiri.
Dia menggunakan teknik quilling iaitu seni menggulung, melentur dan membentuk kertas hingga menjadi satu bentuk hiasan. Lukisan tiga dimensi itu digemarinya kerana karya itu boleh dipegang dan tahan lasak.
“Saya nak orang kenal saya tanpa saya perlu letak tandatangan atas karya saya, jadi saya buat inovasi terhadap karya-karya saya,” katanya.
Namun perjalanan seninya berdepan onak. Seni kertas bukanlah pilihan ramai. kebanyakan artis muda melukis di kanvas, sebaliknya pemuda dari Klang itu memilih berkarya menggunakan kertas. Mulanya, Azizi sendiri kurang yakin untuk meneruskan teknik tersebut.
Kena kecam
Beliau banyak menghasilkan lukisan quilling bertema watak tokoh seni terkenal seluruh dunia. Namun, ia tidak mendapat sambutan.
“Waktu itu kalau saya jual, orang tanya berapa lama kertas boleh tahan, saya tiada jawapan. Nak jual pun takut-takut. Saya tunjuk dekat orang sekeliling, orang tengok karya saya ini tak boleh pergi jauh, kena kecam,” katanya.
Azizi kemudian menyusun untuk mengetengah karyanya sehinggalah timbul idea menghasil Siri Ikon iaitu imej watak atau simbol terkenal.
Keyakinan bercambah apabila karyanya menang pertandingan UOB. Itupun hasil usaha isterinya. Tanpa pengetahuan Azizi, isteri beliau mendaftar namanya ke pertandingan berkenaan.
“Suatu hari, saya terima panggilan kata saya menang pertandingan UOB, waktu itu saya ingat kena tipu, minta mereka hantar e-mel, baru tahu betul-betul menang,” katanya yang meraih tempat tempat kedua.
[caption id="attachment_700610" align="aligncenter" width="1002"] Antara hasil seni kreatif pelukis Azizi Latif yang dipamerkan di 'Reverie Unbound: Unraveled Perspectives' di Fab Cafe Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 19 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sejak itu, permintaan karyanya meningkat. Beliau kian dikenali di dalam mahupun di luar negara. Azizi juga cenderung memilih karya berkaitan isu global dan isu semasa.
Selain menyertai pameran seni, beliau juga mengikuti program Selangor Youth Community (SAY) anjuran Kerajaan Negeri pada 2019. Program enam bulan itu mendedahkan beliau untuk mengembangkan lagi kerjayanya. Azizi diajar kaedah menguruskan perniagaan lukisan.
“Selepas menang program SAY, saya banyak dapat permintaan untuk bekerjasama dengan beberapa syarikat,” katanya yang dinobat sebagai Pemenang Pembangunan Usahawan Muda SAY.
Azizi juga menganjurkan kelas percuma buat mereka yang ingin mengembangkan bakat dalam bidang lukisan.
“Saya tak ambil duit pun, siapa yang betul-betul minat seni, saya kongsikan ruang studio saya,” katanya sambil berharap artis tempatan baharu tidak takut bereksperimen dalam karya.
“Dalam dunia seni yang semakin terbuka dan kompetitif, keaslian adalah kekuatan. Gunakan teknologi, kuasai media sosial dan cipta jaringan tapi jangan lupa akar budaya sendiri,” katanya.
[caption id="attachment_700611" align="aligncenter" width="1126"] Pengunjung melihat hasil seni kreatif pelukis Azizi Latif ketika perasmian pameran 'Reverie Unbound: Unraveled Perspectives' di Fab Cafe Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 19 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_700613" align="aligncenter" width="1101"] Antara hasil seni kreatif pelukis Azizi Latif yang dipamerkan di 'Reverie Unbound: Unraveled Perspectives' di Fab Cafe Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 19 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]