SHAH ALAM, 11 MEI: Pengalaman melihat seorang banduan mengucup kaki ibunya yang nazak di hospital antara kenangan istimewa yang masih tersemat dalam ingatan Ku Intan Ruaida Ku Abd Halim.
Ketua Jururawat di Hospital Al-Sultan Abdullah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam itu berkata segalanya bermula apabila beliau berpeluang menjaga seorang wanita warga emas di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 2021.
Menurutnya, kesihatan wanita berkenaan semakin merosot hari demi hari dan pihak hospital mengambil keputusan untuk menemukan satu-satunya anak wanita tersebut yang sedang menjalani hukuman di penjara.
"Pada saat itu, memang keadaan pesakit semakin merosot dan kita kalau boleh mahu orang terakhir, iaitu anak dapat berjumpa. Syukur kita berjaya aturkan dan apabila anaknya sampai sahaja di ICU, dia terus cium kaki ibunya dan serta-merta ibunya meninggal dunia.
"Pada waktu itu, saya rasa memang ibu tunggu anak dia dan mungkin sudah sampai ajalnya. Bila kita lihat saat anaknya kucup kaki ibu memohon ampun, pada saya ia adalah momen yang sangat menyentuh hati kami," katanya sebak.
Beliau ditemui selepas dijemput sebagai tetamu pada program Bicara Semasa bertajuk "Jururawat: Wira Tanpa Sinaran Lampu" di pejabat Media Selangor, baru-baru ini.
[caption id="attachment_700475" align="alignnone" width="805"] Bicara Semasa wawancara Sister Ku Intan Ruaida Ku Abd Halim di Media Selangor pada 8 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, Ku Intan berkata, status beliau sebagai ibu kepada tiga anak berumur 16 hingga tiga tahun, bukan penghalang untuk menyempurnakan tugas menjaga dan membantu merawat pesakit.
Wanita berumur 40 tahun ini turut mengakui kenangan bertugas ketika pandemik Covid-19 antara cabaran hebat sepanjang perkhidmatannya sebagai jururawat selama 19 tahun.
"Sedikit sebanyak ada juga rasa takut ketika itu, tetapi apabila melihat keadaan pesakit yang kita jaga semakin sembuh, kita jadi gembira. Di rumah, suami antara penguat yang turut sama membantu menjaga anak-anak," katanya.
Sempena sambutan Hari Ibu, Ku Intan menitipkan harapan agar segala jasa dan pengorbanan wanita bergelar ibu dihargai dengan kasih sayang yang tidak bertepi.
"Untuk semua wanita bergelar ibu dan jururawat, apabila kita bekerja, berikan yang terbaik. Insya-Allah suatu hari nanti kebaikan itu akan kembali kepada kita. Apa jua perkara, kalau ikhlas, pulangannya akan baik," katanya.