Lebih setahun Klang diiktiraf Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK). Dikenali sebagai kota warisan, pihak berkuasa itu menyasar lebih setengah juta pelancong domestik dan antarabangsa dijangka mengunjungi Klang sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025). Selari hasrat itu, pelbagai inisiatif disusun termasuklah penganjuran program lawatan ke tempat warisan, hebahan di sosial media. Kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri turut menyalur peruntukan RM34.6 juta untuk tambah baik kemudahan awam di Klang antaranya pasar, tandas awam dan laluan pejalan kaki. Sempena TMS2025, wartawan NADIAH ZAMLUS menyenaraikan antara lokasi menarik boleh dilawati dalam daerah Klang.
1. Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz
diasaskan Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mengambil sempena nama kelahiran Baginda. Premis di Jalan Kota Raja, Kampung Jawa, Klang mulanya dikenali dengan nama Muzium Kenangan. Pen khas yang digunakan untuk menandatangani dua perjanjian penyerahan Kuala Lumpur dan Putrajaya antara artifak penting di situ selain tengkorak buaya sepanjang 22 kaki atau 6.7 meter
2. Ruaang Selfie Studio & Cafe
terletak di tengah bandar Klang, kedai ini terletak berhadapan Keretapi Tanah Melayu Stesen Klang. Dekorasi kedai dihias ala klasik dengan rona kayu. Menghidangkan menu seperti mi kari, nasi lemak dan pelbagai jenis kuih, kedai dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang ini turut menawarkan perkhidmatan studio. Uniknya studionya layan diri tanpa jurugambar. Orang ramai boleh bergambar dengan harga bermula serendah RM30
3. Masjid Jamek Cina Muslim, Klang
masjid ilham DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj daripada reka bentuk salah sebuah masjid di Xi’an, China. Seluas 2.98 ekar dengan kos pembinaan RM19 juta sekali gus mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu masa. Keindahan seni bina seperti kubah unik selain dilengkapi dewan solat berbumbung jubin tradisional Cina manakala kaligrafi Cina menghiasi ruang mihrab, masjid itu juga kini menjadi lokasi pelancongan baharu di Klang
4. Pulau Ketam
pulau kecil berdekatan Pelabuhan Klang dan pengangkutan utamanya feri atau bot laju melalui Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan. Tidak sah kalau ke sana tanpa menikmati makanan laut terutama ketam kerana hasil laut baru ditangkap yang segar. Ketam di sana dikatakan mempunyai rasa yang lebih manis kerana di sekitar Pulau Ketam terdapat banyak kawasan paya bakau. Pengunjung juga boleh bergambar ‘ootd’ di sana kerana kebanyakan bangunan dicat bewarna-warni
5. Masjid Diraja Sultan Suleiman Klang
dibina bersempena dengan pengisytiharan Klang sebagai pusat pentadbiran negeri Selangor. Reka bentuk masjid yang bercirikan seni bina Monghul ini ialah hasil rekaan L. Keste Ven dan dibuka secara rasmi pada 11 September 1932. Terdapat lapan menara kecil di sekeliling masjid dan satu menara besar lagi tinggi di bahagian tengah laluan masuk dari anjung utama. Menara ini juga dihiasi dengan kubah kuning di puncaknya
6. Gereja Our Lady of Lourdes (OLL)
terletak bersebelahan Taman Bandar Diraja Klang serta dibina pada 1928. Gereja bercat putih di tengah bandar diraja Klang turut menjadi tumpuan peminat sejarah dan jurugambar yang meminati bangunan lama. Rumah ibadat itu menerapkan seni bina Goth dari Perancis dengan rekaan kubah tinggi dan tajam yang hampir menyamai gereja di Eropah. Bangunan itu diiktiraf sebagai Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang. Lokasinya berdekatan dengan rumah ibadat lain, sekali gus membolehkan ia tersenarai dalam program Jejak Warisan Kerohanian
7. GM Klang
mempunyai lebih 2,500 kedai bawah satu bumbung. Premis berkenaan diiktiraf Pusat Borong Terbesar di Malaysia oleh The Malaysia Book of Records serta dilantik Duta Pelancongan Bandar Klang oleh MBDK sejak 2018. Menawarkan pelbagai produk termasuk fesyen, penjagaan diri, kesihatan, dekorasi dan keperluan rumah, keperluan perkahwinan serta barangan teknologi maklumat