ad
BERITA UTAMA

Rasulullah pedoman hukum, ijtihad sumber ketiga umat Islam

9 Mei 2025, 8:02 AM
Rasulullah pedoman hukum, ijtihad sumber ketiga umat Islam

Sunnah dari segi bahasa ialah cara atau perjalanan hidup sama ada yang terpuji atau yang tercela. Penggunaan istilah ini ada dalam al-Quran dan hadis dengan makna tersebut.

Dalam hadis, nabi bersabda: “Sesungguhnya kamu akan mengikuti sunnah (cara hidup) orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun, kamu pasti akan mengikutinya.”

Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, (adakah mereka itu) Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab: “Kalau bukan mereka, siapa lagi?”

Baginda juga bersabda: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam satu sunnah yang baik, maka dia memperoleh pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangkan sedikit pun pahala mereka. Dan sesiapa yang memulakan dalam Islam satu sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangkan sedikit pun dosa-dosa mereka.”

Dari sudut disiplin ilmu fiqh, sunnah ialah yang sabit daripada nabi tanpa kewajipan. Ia salah satu lima hukum taklifi iaitu wajib, haram, sunnah, makruh dan harus. Kadangkala istilah ini digunakan sebagai lawan kepada bid‘ah seperti dalam ungkapan mereka: "Talak sunnah adalah begini dan talak bid‘ah adalah begitu."

Sunnah menurut ahli usul ialah segala yang datang daripada nabi selain al-Quran sama ada perkataan, perbuatan atau pengakuan (taqrir). Sunnah menurut ahli hadis ialah segala yang dinukilkan daripada nabi berupa perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat peribadi atau perjalanan hidup (sirah). Dalam pengertian ini, ia sinonim istilah hadis nabawi menurut kebanyakan mereka.

Perkataan nabi adalah semua yang diungkap dalam bentuk perkataan nabi yang didengari sahabat, lalu diriwayatkan oleh sahabat. Perbuatan pula segala perbuatan nabi yang diriwayatkan kepada kita seperti cara nabi menunjukkan secara praktikal berwuduk seperti membasuh anggota tiga kali, mendahulukan anggota kanan dan sebagainya.

Riwayat ini asas tatacara wuduk umat Islam atau nabi menunaikan haji (Haji Wada‘) dan menunjukkan semua rukun dan wajib dengan amali sambil bersabda: “Ambillah daripadaku manasik kamu.” atau Baginda makan dengan tangan kanan, duduk sopan (seperti duduk iftirasy), menyebut nama Allah sebelum makan dan makan dari bahagian makanan yang paling hampir.

Semua ini menunjukkan perbuatan nabi menjadi sumber hukum apabila ia tidak bersifat peribadi semata-mata dan diterima serta diamalkan para sahabat.

Pengakuan (taqrir) pula sesuatu yang dilakukan para sahabat dalam bentuk perkataan atau perbuatan yang diperakui Rasulullah sama ada dengan diam (tidak bantah) atau menyatakan persetujuan dan menunjukkan penghargaan.

Contohnya, kisah dua sahabat yang tidak ada air ketika bermusafir lalu mereka bertayammum dan mendirikan solat. Kemudian, mereka menemui air sebelum habis waktu. Seorang daripada mereka mengulangi solat manakala seorang lagi tidak mengulanginya. Apabila hal itu dikemuka kepada Rasulullah, baginda tidak mencela kedua-duanya, malah membenarkan tindakan mereka. Ini menunjukkan persetujuan (taqrir) nabi terhadap perbuatan mereka.

Contoh lain, ketika sahabat makan dob di hadapan baginda dan baginda tidak turut makan tetapi tidak melarang mereka. Ini menunjukkan baginda tidak mengharamkannya.

Adapun sifat dan sirah (perjalanan hidup) nabi, diriwayatkan banyak tentang sifat fizikal Rasulullah dan keperibadiannya yang mulia. Imam al-Tirmizi mengarang kitab khusus tentang al-Syama’il (sifat-sifat mulia Nabi).

Umat Islam memberi perhatian luar biasa terhadap sunnah. Mereka memelihara, menulis, dan meriwayatkannya antara satu sama lain hingga sebahagiannya mencapai darjat mutawatir sama ada dari segi lafaz dan makna atau makna sahaja, semuanya bersambung sanadnya hingga kepada Rasulullah. Ini salah satu keistimewaan umat Islam.

Ibnu Hazm berkata: "Riwayat oleh perawi yang dipercayai daripada perawi yang dipercayai sehingga sampai kepada nabi secara bersambung adalah satu keistimewaan yang hanya dimiliki umat Islam dan tidak dimiliki umat lain."

Al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber agama. Sebarang perkara yang tidak disebut dalam dua sumber ini, maka Islam membuka ruangan ijtihad. Dan diriwayatkan daripada Mu‘az bin Jabal bahawa Rasulullah bersabda kepadanya ketika baginda mengutusnya ke Yaman: "Bagaimana kamu akan menghukum apabila sesuatu perkara dibentang kepadamu?"

Mu‘az menjawab: "Aku akan menghukum berdasarkan Kitab Allah."

Baginda bertanya: "Jika kamu tidak menemui (hukumnya) dalam kitab Allah?"

Mu‘az menjawab: "Maka aku akan menghukum dengan sunnah Rasulullah."

Baginda bertanya lagi: "Jika kamu tidak menemui dalam sunnah Rasulullah dan tidak juga dalam kitab Allah?"

Mu‘az menjawab: "Aku akan berijtihad dengan pandanganku dan aku tidak akan cuai."

Maka Rasulullah menepuk dada Mu‘az dan bersabda: "Segala puji bagi Allah yang memberi taufik kepada utusan Rasulullah sesuatu yang menyenangkan Rasulullah." Ini menunjukkan keutamaan sunnah selepas al-Quran dalam sumber hukum dan pengiktirafan ijtihad apabila tiada nas yang jelas.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.