AGENDA

Selangor teruskan insentif rawatan tibi RM800, usaha depani penularan

8 Mei 2025, 10:00 AM
Selangor teruskan insentif rawatan tibi RM800, usaha depani penularan

SHAH ALAM, 8 MEI: Selangor meneruskan insentif Rawatan Penyakit Tuberculosis (Tibi) sebanyak RM800 tahun ini sebagai usaha berterusan memerangi penyakit itu dalam kalangan rakyat negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah meneruskan rawatan hingga sembuh sepenuhnya dan mengelak jangkitan lebih bahaya.

“Kerajaan Negeri masih meneruskan insentif Rawatan Penyakit Tibi sebanyak RM800 untuk tahun ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah meneruskan rawatan sehingga sembuh sepenuhnya dan mengelak jangkitan lebih bahaya,” katanya di Facebook

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Persatuan Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia (MAPTB).

“Alhamdulillah, kadar kejayaan rawatan meningkat daripada 80 peratus pada 2020 kepada 88 peratus pada 2024.

“Ini bukan satu-satunya langkah kita. Sudah pasti strategi pencegahan turut kita rangka kerana mencegah lebih baik dari merawat,” katanya di Facebook.

Amirudin berkata tahun lalu, Malaysia mencatatkan 26,183 kes tibi dengan 20 peratus atau 5,337 kes dilaporkan di Selangor.

“Terdapat peningkatan dengan purata 2.5 peratus setiap tahun sejak 2020 maka keperluan kepada intervensi berterusan dan menyeluruh semakin mendesak,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata JKNS memainkan peranan penting dalam mendepani cabaran semasa berkait penyakit tibi menerusi pendekatan strategik dan inovatif dengan menumpukan kepada aspek pengesanan awal, penyediaan rawatan berkualiti dan pendidikan awam.

Menurutnya, inisiatif utama termasuk melabur dalam teknologi kesihatan seperti penggunaan ultra portable X-ray berteknologi tinggi yang disokong oleh kecerdasan buatan (Al), bagi meningkatkan ketepatan dan kepantasan diagnosis tibi.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619