AGENDA

Monsun Barat Daya bermula 10 Mei, kurang hujan, risiko jerebu meningkat

7 Mei 2025, 7:04 AM
Monsun Barat Daya bermula 10 Mei, kurang hujan, risiko jerebu meningkat

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 10 Mei dan berterusan sehingga September ini susulan tiupan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata sepanjang musim tersebut, kadar kelembapan udara lazimnya rendah, sekali gus menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.

“Sehubungan itu, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.

“Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi, berikutan kehadiran fenomena garis badai (squall line). Ia merupakan barisan ribut petir yang terbentuk akibat daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ketika kemuncak monsun berkenaan iaitu antara Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

Mohd Hisham turut menasihatkan agar sebarang pembakaran terbuka dielakkan bagi mengurangkan risiko pencemaran jerebu, selain menggalakkan orang ramai menggunakan air secara berhemah sepanjang musim itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi jabatan berkenaan atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619