AGENDA

Terperdaya tawaran niaga palsu di TikTok, bekas guru rugi lebih RM82,000

6 Mei 2025, 1:40 PM
Terperdaya tawaran niaga palsu di TikTok, bekas guru rugi lebih RM82,000

JERTIH, 6 MEI: Seorang bekas guru mengalami kerugian hingga RM82,600 setelah menjadi mangsa penipuan melalui aplikasi laman sosial Facebook berhubung tawaran membuka kedai di aplikasi TikTok atau TikTok Shop sejak 27 April lepas.

Ketua Polis Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu berkata lelaki warga emas berusia 67 tahun itu diperdaya bagi tujuan membuka perniagaan secara dalam talian.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu diminta menghantar salinan MyKad dan sekeping gambar swafoto untuk pendaftaran akaun.

“Setelah TikTok Shop mangsa kononnya diwujudkan, dia dikehendaki memasukkan modal permulaan bagi kedai dalam talian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azamuddin berkata mangsa kemudian memasukkan modal permulaan sebelum menerima sedikit pulangan.

“Mangsa yang semakin yakin telah memasukkan modal seterusnya iaitu sebanyak 13 kali transaksi ke tujuh akaun bank berbeza yang diberikan suspek berjumlah keseluruhan RM82,600,” katanya.

Beliau berkata setelah melakukan transaksi terakhir pada Ahad lepas, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu apabila suspek terus meminta tambahan modal.

"TikTok Shop berkenaan juga dipercayai palsu kerana dikatakan menggunakan mata wang USD dan walaupun selalu menerima kemasukan pesanan dalam sistem namun tiada sebarang pembayaran dibuat.

“Mangsa telah membuat laporan semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619