SHAH ALAM, 6 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menaja 100 individu menyertai kursus pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) selama tiga hari di Dewan MPAJ Cheras Hartamas.
MPAJ memaklumkan program dianjur pada 22 hingga 25 April lalu dengan kerjasama Think Big Training, Tabung Khas Warisan Khas Kesihatan (TWKK), Majlis Permuafakatan Wakaf Antarabangsa serta Pertubuhan Prihatin Malaysia.
“Kursus diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai khususnya warga Ampang Jaya untuk mempertingkatkan tahap kemahiran dengan bimbingan tenaga pengajar profesional yang berpengalaman luas dan terlatih.
“Kursus-kursus yang dianjurkan juga merupakan kursus kemahiran jangka pendek yang berpotensi untuk membantu menjana pendapatan serta ekonomi,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut MPAJ, antara kursus yang ditawarkan adalah kursus usahawan pembuatan kek dan roti, jahitan pakaian, dandanan rambut, juruteknik penyaman udara serta pendawaian elektrik.
Tambahnya, setiap kursus disertai 20 peserta selain ditaja sepenuhnya oleh Endowmen MPAJ bawah program Peningkatan Ekonomi Berimpak Tinggi (HIEDP).
Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada peserta disempurnakan Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad pada 26 April lalu.
Dalam majlis sama, MPAJ turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama TWKK dan Think Big Training dalam usaha menggerakkan pembangunan komuniti di Ampang Jaya.
“Endowmen MPAJ merupakan tabung kebajikan untuk mengumpul dana untuk membiayai aktiviti yang memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan masyarakat serta meliputi matlamat pembangunan lestari (SDGs),” katanya.
Sumbangan boleh dibuat ke akaun Bank Islam MPAJ (akaun 12122010044609), secara tunai di kaunter hasil MPAJ, kad kredit/ kad debit/ e-dompet atau secara dalam talian melalui iCOMM MPAJ dan kod QR.