AGENDA

Tiga lelaki dipenjara seumur hidup edar 32 kilogram dadah

6 Mei 2025, 6:34 AM
Tiga lelaki dipenjara seumur hidup edar 32 kilogram dadah

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan ke atas tiga lelaki, selepas didapati bersalah kerana mengedar dadah seberat 32 kilogram (kg), enam tahun lepas.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap penarik kereta S. Uvaraja, 48, R. Kalaikumar, 40, dan pemandu lori K. Paarthiban, 38, di akhir kes pembelaan.

“Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019,” kata Hakim Azhar.

Tiga lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu Methampetamine seberat 32,682.4 gram (32kg) di tempat parkir kereta di sebuah kondominium di Jalan Desa Pandan di sini, pada 5.35 petang, 18 Jun 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Hakim Azhar turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Uvaraja, kerana didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki 0.15 gram (g) dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine dan 0.003g heroin serta 0.007g Monoacetylmorphines, di lokasi dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pada prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619