BERITA UTAMA

Sutradara meluat lambakan karya tema curang dari pagi ke malam

5 Mei 2025, 2:00 AM
Sutradara meluat lambakan karya tema curang dari pagi ke malam
Sutradara meluat lambakan karya tema curang dari pagi ke malam

Kecenderungan stesen televisyen tempatan menyiarkan drama bertema kecurangan dari pagi sampai malam termasuk Ramadan dan Syawal mengundang kritikan pengarah terkenal Rashid Sibir.

Pemenang kategori pengarah harapan dalam Festival Filem Malaysia bagi filem Sutera Putih pada 1997 menyifatkan karya seumpama itu “tiada nilai agama dan tidak langsung mendidik masyarakat”, lebih-lebih lagi ketika umat Islam berpuasa dan menyambut hari kemenangan.

Namun, pemenang kategori drama terbaik berjudul Pendosa Ingin Ke Syurga dalam Anugerah Skrin 2018 tidak pula menghalang tema sedemikian dipapar kepada penonton tetapi bukan secara berlebihan.

"Cerita-cerita yang tidak ada nilai pada saya. Tidak langsung mendidik masyarakat, hanya hendak beri contoh sahaja. Bulilah, sekslah, curanglah, pagi curang, malam curang.

"Pada bulan puasa cerita cerita curang. Yang nilai agama, langsung tidak ada. Sedangkan dalam puasa, apa salahnya kita beri satu cerita yang bagus," katanya dalam wawancara baru-baru ini.

Meski tidak menyalah stesen televisyen yang memerlukan produk moden dan sentuhan tema baharu, Rashid percaya karya kreatif berperanan penting dalam menyodor pengajaran dalam penceritaan.

Terkenal dengan jolokan sutradara air mata, beliau banyak menghasilkan naskhah bertema kemasyarakatan mencakupi isu kemiskinan, kasih sayang dan kematian, kebanyakannya menusuk perasaan.

Mengimbau telefilem Pondok Buruk menjelang sambutan Aidilfitri pada 2002, Rashid gembira lantaran karya tersebut membangkitkan kesedaran di sanubari rakannya yang mulanya enggan balik kampung.

Usai tayangan di kaca televisyen, Rashid menerima panggilan rakannya itu yang sedang berada di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara untuk membeli langsir buat ibunya di desa.

"Aku sudah tak nak balik kampung tahun ini tapi kerana tengok cerita kau, aku 'terpaksa' balik kampung," katanya yang memetik kembali percakapan rakannya itu.

Bagi Rashid yang juga pengarah urusan Opera Klasik Sdn Bhd, itulah tujuan utamanya.

"Kita cuba untuk mencairkan. Sekarang ini orang Melayu sudah lupa pada asal-usul, sudah tidak ingat ibu bapa di kampung,” kata anak kelahiran Kampung Semerah, Batu Pahat itu lagi.

Pondok Buruk antara puluhan karyanya yang menyentuh hati selain Quran Buruk (2004) dan Ketupat Daun Kering (2006). Hingga kini, penonton masih terkenang-kenang jalan ceritanya.

Selain menganggap kisah seumpama itu tahan lama, Rashid percaya ia juga mengimbau nostalgia kehidupan kampung, lebih-lebih lagi lakonan babak melankolik bukan secara dipaksa-paksa.

“Kesan jangka panjang terhadap pembikinan drama-drama air mata saya meresap ke jiwa masyarakat yang memang hendakkan cerita-cerita macam itu.

“Apabila diberi tanggungjawab untuk menghasilkan satu drama, saya akan pastikan, kalau tidak menangis kau bukan manusialah,” kata Rashid lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619