WASHINGTON, 5 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua filem yang dihasilkan di luar negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan dimuat naik di platform Truth Social semalam, Trump berkata langkah itu bertujuan melindungi industri perfileman domestik yang dikatakan sedang mengalami kemerosotan ketara.
“Saya mengarahkan Jabatan Perdagangan dan Wakil Perdagangan AS untuk segera memulakan proses mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua filem yang memasuki negara kita dan dihasilkan di luar negara,” katanya.
Trump turut menyifatkan insentif luar negara terhadap pembuat filem AS sebagai ancaman terhadap keselamatan negara, dengan mendakwa ia merupakan satu bentuk “mesej dan propaganda.”
“Hollywood dan banyak sektor lain di AS sedang terjejas teruk. Ini adalah usaha bersepadu oleh negara asing,” katanya.
- BERNAMA-ANADOLU