AGENDA

Malaysia pertahan gelaran juara Kejohanan Boling Padang Asia di Filipina

4 Mei 2025, 3:36 AM
Malaysia pertahan gelaran juara Kejohanan Boling Padang Asia di Filipina

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Malaysia sekali lagi membuktikan keunggulan dalam sukan boling padang apabila berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan di Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 & ke-14 Bawah 25 tahun 2025 yang berlangsung dari 27 April hingga semalam di Clark, Filipina.

Skuad negara menamatkan kempen dengan pungutan membanggakan meraih tujuh pingat emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus mengekalkan kedudukan selaku kuasa besar boling padang di rantau Asia.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz menyifatkan kejayaan skuad negara membawa pulang tujuh daripada 11 pingat emas yang dipertandingkan sebagai satu pencapaian luar biasa dan antara yang terbaik pernah dicapai pasukan setakat ini.

Beliau berkata kejayaan itu turut didorong oleh strategi latihan intensif yang dijalankan di padang rumput semula jadi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sendayan yang mempunyai ciri permukaan padang hampir sama seperti di Clark Bowling Green iaitu lokasi kejohanan berlangsung.

“Tahniah atas kesungguhan dan kerja keras atlet, jurulatih dan pihak pengurusan. Saya sungguh berbangga dengan mereka.

"Saya berharap kita dapat mengekalkan momentum yang sama untuk kejohanan antarabangsa yang akan datang, terutamanya Piala Dunia pada November tahun ini dan Sukan Komanwel pada tahun hadapan," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan PLBM hari ini.

Tujuh pingat emas itu diperoleh menerusi acara berpasukan lelaki (pairs, triples dan fours), berpasukan wanita (perseorangan dan pairs) serta pasukan bawah 25 tahun (perseorangan wanita dan beregu campuran).

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619