AGENDA

Polis tahan suami isteri disyaki edar dadah

30 Apr 2025, 7:32 AM
Polis tahan suami isteri disyaki edar dadah

ALOR SETAR, 30 APRIL: Polis menahan pasangan suami isteri dan merampas dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM189,600 dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan taman perumahan dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata kedua-duanya yang berusia 50-an ditahan pada 3 petang.

“Hasil serbuan, polis merampas 10,340 pil erimin 5 dianggarkan seberat 2846.29 gram (g), sepeket plastik lut sinar berisi dadah disyaki ketamin seberat 493.23g serta serbuk dadah disyaki methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 364.2g,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menyita wang tunai berjumlah RM530 yang dipercayai diperoleh daripada aktiviti pengedaran dadah berkenaan.

Kesemua dadah yang dipercayai diperoleh dari luar Kedah itu, katanya mampu dibekalkan kepada 3,200 penagih.

Siti Nor Salawati berkata hasil saringan air kencing mendapati suspek lelaki itu positif terhadap dadah jenis methamphetamine dan amphetamine selain memiliki lima rekod jenayah lampau.

Beliau berkata pasangan itu dipercayai telah mengedar dadah terbabit kepada pengedar kecil sejak empat tahun lepas dan mereka kini direman hingga 5 Mei ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengenai perkembangan kes gangguan seksual melibatkan seorang guru lelaki di sebuah sekolah swasta di sini, Siti Nor Salawati berkata setakat ini pihaknya telah menerima tujuh laporan berhubung kes itu.

“Semua laporan yang dibuat di Alor Setar itu adalah oleh pelajar dan bekas pelajar sekolah berkenaan. Kertas siasatan telah dibuka dan buat masa ini satu kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619