AGENDA

Letupan gas: Dana RM46 juta baik pulih rumah, infrastruktur, jangka siap 24 bulan

30 Apr 2025, 6:03 AM
Letupan gas: Dana RM46 juta baik pulih rumah, infrastruktur, jangka siap 24 bulan

SHAH ALAM, 30 APRIL: Sejumlah RM46 juta diperuntuk bagi kerja baik pulih dan bina semula kediaman mangsa terjejas kebakaran saluran gas di Putra Heights.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan tersebut turut melibatkan pemulihan infrastruktur awam di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 219 unit kediaman terjejas akibat insiden tersebut yang mana 81 mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan 138 pula kurang daripada itu.

“Terdapat tiga kategori iaitu kediaman melebihi 40 peratus dan memerlukan pembinaan semula kos siling ditetapkan RM300,000 seunit, bagi yang tidak perlu dibina semula RM150,000.

“Bagi yang mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus, kos siling baik pulih adalah RM30,000. Projek pembinaan dilaksana dengan Kerjasama Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya dalam sidang media di Foyer SUK hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming memaklumkan kontraktor berkaitan akan masuk untuk laksana kerja baik pulih di kediaman dalam radius 100 meter bermula esok.

“Tempoh keseluruhan yang diperuntuk bagi kerja pembinaan semula selama 24 bulan mengikut Akta 118, namun saya meminta pihak berkenaan untuk percepat proses. Mereka boleh cepat tetapi tidak boleh lewat daripada waktu ditetapkan.

“Bagi dana RM6 juta untuk pemulihan infrastruktur awam, ini peruntukan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya. Kita sentiasa komited dalam memastikan prose pemulihan berjalan lancar,” ujarnya.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi 1 April lalu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619